SHARE AND LIKE THIS POST

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri tiada halangan kepada mana-mana pihak berkemampuan mendapatkan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) ditetapkan bernilai RM250,000.

Menteri Besar Datuk Osman Sapian berkata, penetapan kategori baharu RMMJ itu menjadi dasar kepada kerajaan negeri pimpinannya.

Katanya, di Johor Bahru saja terdapat rumah tidak terjual bernilai RM17 bilion.

“Kalau kita lihat banyak rumah tidak terjual dan jika kita meletakkan syarat keterlaluan, pemaju akan mengalami kerugian.

“Ketika ini pun sukar untuk mendapatkan pinjaman,” katanya pada sidang media sempena Karnival Jom Heboh (KBH) di Angsana Mall Johor Bahru hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pergerakan Pemuda UMNO Johor yang menyelar tindakan kerajaan negeri dengan memperkenalkan kategori RMMJ berharga RM250,000 khas kepada golongan berpendapatan pertengahan (M40).

Ketuanya, Mohd Hairi Md Shah berkata, dasar kerajaan negeri sebelum ini sudah menetapkan harga bagi semua pakej kediaman RMMJ tidak melebihi RM150,000.

Pergerakan itu juga mempersoalkan dasar memperkenalkan kategori baharu yang sudah dibentangkan kepada Menteri Besar dan diuar-uarkan kepada rakyat.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan Dan Pembangunan Luar Bandar, Dzulkefly Ahmad mengumumkan kerajaan negeri memperkenalkan RMMJ berharga RM250,000.

Comment

BERI MAKLUM BALAS