SHARE AND LIKE THIS POST

KUALA LUMPUR: Nilai rumah tidak terjual, sebahagian besarnya kategori mampu milik mencecah nilai RM22.5 bilion.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, berkata unit kediaman itu akan cuba dijual menerusi ekspo pemilikan kediaman yang dijangka diadakan Januari depan.

Beliau berkata penelitian pihaknya mendapati 73 peratus daripada kediaman tidak terjual itu bernilai RM250,000 ke bawah dan hartanah berkenaan dikategorikan sebagai rumah mampu milik.

“KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan), REHDA (Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia) dan pemaju sudah berunding untuk mengadakan ekspo pemilikan kediaman seperti yang pernah dianjurkan pada 1998 serta 1999.

“Program ini akan diadakan dalam tempoh terdekat, dijangkakan Januari, kerana kita sedang tunggu (perincian daripada) pembentangan Bajet 2019 pada 2 November ini.

“Kita sudah bincang dengan Bank Negara Malaysia dan pelabur perumahan yang bersetuju untuk tampil membantu menyediakan skim pembiayaan bagi membolehkan pemohon mendapat kelonggaran pinjaman,” katanya ketika menjawab soalan Fong Kui Lun (PH DAP-Bukit Bintang) di Dewan Rakyat, hari ini.

Kui Lun meminta perincian mengenai langkah kerajaan mengatasi masalah lambakan unit rumah yang tidak dapat dijual berikutan kegagalan pembeli mendapatkan pinjaman kediaman daripada bank dan institusi kewangan.

Mengulas lanjut, Zuraida bagaimanapun berkata, kerajaan tidak menggalakkan individu yang ingin membeli kediaman tanpa memiliki kemampuan untuk menjelaskan hutang pinjaman perumahan.

“KPKT ada beberapa rancangan program dan dasar rumah mampu milik yang bakal dilancarkan, demi manfaat golongan sasar, khususnya kumpulan berpendapatan isi rumah 40 peratus terendah (B40).

“Pada masa sama, kita ingin pastikan individu yang ingin memohon pinjaman mampu melunaskan hutang perumahan kerana kita tidak mahu kediaman mereka tergadai,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Kui Lun berhubung kesediaan kerajaan mewujudkan tabung khas bagi pembeli rumah pertama yang gagal mendapat pinjaman institusi kewangan, Zuraida berkata, cadangan merangkumi pemberian geran sedemikian bukan pendekatan terbaik bagi merungkai isu terbabit.

Beliau sebaliknya berpendapat bahawa dana kerajaan perlu diguna dan dimanfaatkan secara lebih lestari, namun tidak bermakna sebarang penyaluran bantuan demi manfaat golongan sasar akan dihentikan.

“Banyak lagi cara yang kita boleh laksanakan, bukan menerusi penggunaan dana kerajaan, termasuk pendekatan memanjangkan tempoh pembiayaan, pengecualian yuran perundangan dan sebagainya hasil rundingan dan kerjasama dengan pihak berkaitan,” katanya

Tawaran Istimewa dari Lazada:

BERI MAKLUM BALAS