SHARE AND LIKE THIS POST

Kuala Lumpur: Kerajaan dijangka menjadikan rumah mampu milik sebagai agenda utama dalam Bajet 2019 memandangkan ia adalah antara isu utama yang mendapat perhatian rakyat.

Pensyarah Kanan Putra Business School Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, isu rumah mampu milik adalah antara komponen utama yang perlu diselesaikan kerajaan supaya ia tidak lagi berlarutan.

Beliau berkata, permasalahan itu dapat diselesaikan sekiranya ia membabitkan kerjasama pelbagai pihak berkepentingan seperti pihak pemaju dan pemilik tanah serta kerajaan negeri dan inisiatif daripada kerajaan Persekutuan.

Justeru, katanya, Bajet 2019 sekali gus akan memperlihatkan inisiatif lain yang akan diperkenalkan oleh kerajaan hasil daripada usaha meggabungkan semua agensi yang berkaitan perumahan negara di bawah Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN).

“Rumah mampu milik dijangka menjadi fokus utama kerajaan memandangkan ia adalah isu yang berpanjangan sejak sekian lamanya.

“Jadi, pada Bajet 2019 ini juga kita berkemungkinan akan melihat kerajaan mengumumkan penyelesaian khusus hasil daripada inisiatif gabungan semua agensi berkaitan perumahan negara baru-baru ini,” katanya.

Penubuhan MPMMN diumumkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika membentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 bagi menyelaras pengurusan perumahan mampu milik awam.

Selain itu, Dr Ahmed Razman turut menjangkakan kerajaan akan melaksanakan usaha memastikan kekayaan negara dapat dinikmati semua.

“Belanjawan ini kita yakin kerajaan akan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat.

“Ini juga adalah sejajar dalam merealisasikan Bangsa Malaysia yang maju dalam segala segi,” katanya.

Tawaran Istimewa dari Lazada:

BERI MAKLUM BALAS