SHARE AND LIKE THIS POST

Shah Alam: Harga hartanah komersial secara keseluruhannya dijangka menurun sekitar satu atau dua peratus susulan pengenalan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bermula September ini.

Presiden yang juga Ketua Eksekutif S P Setia Bhd (S P Setia) Datuk Khor Chap Jen berkata, ia berikutan beberapa bahan binaan yang sebelum ini dikenakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tidak dikenakan SST.

“Sehubungan itu, kami menjangkakan kos keseluruhan untuk pembangunan hartanah komersial akan menjadi lebih rendah berbanding sebelum ini”.

“Perincian mengenai mekanisme penetapan harga itu hanya akan diketahui tidak lama lagi.

“Bagaimanapun, ia tidak akan begitu memberi kesan kepada pasaran rumah mampu milik memandangkan situasi hartanah yang lembap pada masa ini. Banyak pemaju yang mengambil inisiatif sendiri mengurangkan harga jualan tanpa perlu menunggu pengenalan semula SST,” katanya pada sidang media selepas memeterai perjanjian dengan ONYX Hospitality Group (ONYX) di sini, semalam.

Perjanjian berkenaan bertujuan melantik ONYX sebagai pengendali rasmi bagi dua hotel baru Amari milik S P Setia di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Hadir sama pada majlis berkenaan, Presiden dan Ketua Eksekutif ONYX Douglas Martell.

Hotel Amari di Pulau Pinang dijangka dibuka pada lewat 2020 dan Amari Kuala Lumpur pula dijangka dibuka pada awal 2021.

Mengulas lanjut, Khor berkata, pihaknya menjangkakan cabang perhotelan akan menyumbang sebanyak kurang lima peratus kepada perolehan kumpulan dalam tempoh lima tahun.

“Kami mempunyai pelan strategik lima tahun yang mana satu daripadanya adalah untuk membina aset hartanah pelaburan dengan hotel menjadi satu daripada tumpuan kami.

“Kami akan berkembang secara perlahan-lahan berdasarkan pelan strategik yang dirangka itu,” katanya.

 

 

Tawaran Istimewa dari Lazada:

BERI MAKLUM BALAS