SHARE AND LIKE THIS POST

SHAH Alam di Selangor menjadi kawasan yang mencatatkan carian tertinggi oleh pembeli rumah Malaysia menerusi laman webnya pada 2019.

Portal hartanah, iProperty.com.my mendapati Shah Alam, yang terletak di Lembah Klang, merekodkan peratusan carian sebanyak 17.14 peratus.

“Antara faktor yang menyebabkan Shah Alam menjadi pilihan adalah berikutan persekitaran kehijauan yang menawarkan kehidupan lebih tenang di samping memiliki akses mudah kepada pelbagai kemudahan.

“Malah, Shah Alam juga dikenali sebagai hab pendidikan antarabangsa apabila terdapat beberapa jenama institusi pengajian yang menawarkan pelbagai program pendidikan menarik.

“Selain itu, kemudahan LRT3 yang akan menghubungkan Bandar Utama dan Johan Setia di Klang dijangka melalui enam stesen di Shah Alam serta akan siap sepenuhnya pada 2024.

“Ia secara tidak langsung meningkatkan nilai hartanah di Shah Alam khususnya di lokasi berhampiran stesen pengangkutan awam itu,” katanya.

Menurutnya, kawasan yang mencatatkan carian popular di iProperty.com.my masih tertumpu di perbandaran Lembah Klang untuk rumah dan hartanah kediaman.

“Semua kawasan ini mempunyai satu persamaan iaitu akses mudah kepada pelbagai kemudahan seperti pusat beli-belah, hospital, sekolah, sistem pengangkutan dan aktiviti ekonomi yang berkembang pesat,” katanya.

Berdasarkan kenyataan bersama iProperty.com Malaysia Sdn Bhd dan REA Group Ltd, selain Shah Alam, lokasi lain sekitar Lembah Klang turut menjadi tumpuan pembeli rumah termasuk Ara Damansara dengan carian mencapai 16.98 peratus, Cheras (13.15 peratus), Bandar Utama (12.22 peratus), Semenyih (11.96 peratus), Petaling Jaya (7.91 peratus), Rawang (5.50 peratus), Subang Jaya (5.19 peratus) dan Puchong (4.79 peratus).

Malah, Johor Bahru juga turut menjadi lokasi popular dengan 5.16 peratus jumlah carian berdasarkan data tingkah laku carian pengguna yang direkodkan penyelesaian data raya iProperty.com.my, iPropertyiQ.com.

“Kawasan ini mencatatkan jumlah carian tertinggi dalam kalangan pembeli rumah yang melayari iProperty.com.my bagi tempoh Januari hingga November 2019,” katanya.

iProperty.com.my yang menerima lebih tiga juta kunjungan setiap bulan, menawarkan pengalaman carian hartanah dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu.

Comment

BERI MAKLUM BALAS