SHARE AND LIKE THIS POST

PUCHONG: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mengeluarkan satu garis panduan dan polisi perumahan awam baru selaras dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang akan dilaksanakan pada 1 September.

Menterinya Zuraida Kamaruddin berkata, inisiatif itu akan diumumkan selepas selesai kajian ke atas implikasi kos SST terhadap harga rumah yang sedang dijalankan sekarang.

Kajian itu termasuk melihat kepada perbezaan antara kos perumahan awam sedia ada dengan kos selepas SST.

“Polisi dan konsep perumahan awam ini mengambil kira implikasi kos itu. Jadi, KPKT sedang mengkaji implikasi kos, kos yang ada sekarang, apa komponennya.

“Dari situ saya akan buat perbezaan dan keluarkan satu garis panduan kos rumah awam. Garis panduan akan dikeluarkan sekali dengan polisi perumahan awam itu,” katanya pada sidang media selepas melawat cadangan tapak Kompleks Sukan Wanita di Bandar Bukit Puchong di sini hari ini.

“Sekarang Dasar Perumahan Negara sudah siap. Cuma, saya sedang menyediakan satu dasar perumahan awam KPKT. Perdana Menteri minta saya cepatkan juga. Jadi, saya rasa, dalam bulan sembilan,” tambahnya.

Jelasnya lagi, harga perumahan awam boleh diturunkan dengan adanya sistem yang telus dan berkesan.

Sementara itu, mengulas mengenai gesaan kementeriannya kepada kerajaan negeri untuk menyediakan tanah bagi projek perumahan mampu milik, Zuraida berkata setakat ini, hanya Kerajaan Negeri Selangor yang telah memberi maklum balas.

Sehubungan itu, beliau akan membuat cadangan bertulis kepada negeri lain termasuk di bawah pentadbiran parti pembangkang.

“Yang (negeri) lain saya tidak dengar lagi. Saya akan berhubung atau menulis kepada semua Menteri-Menteri Besar untuk mempertimbangkan perkara ini.

“Untuk menurunkan harga rumah, tanah mesti disediakan oleh kerajaan negeri. Kerajaan negeri yang tawarkan saya dahulu, saya akan ambil dulu,” jelasnya.

Menurutnya, beliau akan memastikan tanah yang ditawarkan mempunyi sistem rangkaian jalan dan kemudahan.

“Ini kerana kita tidak mahu golongan B40 tinggal di tempat yang tiada kemudahan sekolah, pengangkutan dan pekerjaan, yang menyulitkan kehidupan mereka. Jadi, kriteria kita ialah, tanah kerajaan negeri mesti ada kemudahan.

“Saya juga sedang usahakan saiz yang sesuai untuk mereka tawarkan.”

Pada masa sama, kata Zuraida, kementeriannya telah berbincang dengan Bank Negara Malaysia bagi menyediakan satu formula yang memudahkan pinjaman dan pemilikan rumah mampu milik.

Comment

BERI MAKLUM BALAS