SHARE AND LIKE THIS POST

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor menolak permohonan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi menurunkan harga rumah yang dijual kepada warga asing di bawah Skim Malaysia My Second Home (MM2H).

Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Selangor, Rodziah Ismail berkata, mengikut dasar kerajaan negeri, kadar nilai minimum jualan rumah kepada warga asing adalah ditetapkan pada harga RM2 juta dan KPKT membuat permohonan untuk menurunkan kadar itu sehingga RM600,000.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga hanya dapat mempertimbangkan untuk menurunkan nilai berkenaan kepada kadar RM1.5 juta sahaja.

“Kita tak bersetuju dengan perkara itu dan hanya pertimbangkan untuk turun sehingga RM1.5 juta sahaja.

“Pada kita (kerajaan negeri), RM1.5 juta mungkin nampak besar tapi bagi warga asing, mereka memang menunggu-munggu untuk memiliki kediaman di sini,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perumahan dan Kesejahteraan Bandar Negeri Selangor yang berlangsung di Hotel De Palma, hari ini.

Menerusi Belanjawan 2020, kerajaan mengumumkan akan menurunkan nilai ambang bagi kondominium dan pangsapuri di kawasan bandar dari RM1 juta kepada RM600,000 pada tahun 2020 untuk pemilikan asing tanpa menafikan hak rakyat Malaysia yang berkelayakan untuk membeli rumah berkenaan.

Dalam pada itu, Rodziah berkata, langkah KPKT itu juga bakal memberi kesan kepada rakyat di negara ini untuk membeli kediaman sendiri selepas ini.

“Unit-unit yang tak terjual bukan masalah kami (kerajaan negeri) dan mungkin dah tiba masa untuk pemaju nilaikan dan turunkan harga rumah.

“Tapi kalau nak kerajaan negeri putuskan untuk turunkan harga rumah kepada warga asing memang tak boleh,” katanya.

Dalam perkembangan berlainan, Rodziah turut menggesa agar jawatankuasa rumah terbengkalai negeri untuk mengadakan mesyuarat pada setiap bulan selepas ini.

“Sebelum ini, saya mendapati jawatankuasa ini hanya bermesyuarat sebanyak empat kali setahun dan oleh demikian saya mahu agar pertemuan itu diadakan pada setiap bulan untuk meneliti perkara itu,” katanya.

 

Comment

BERI MAKLUM BALAS