SHARE AND LIKE THIS POST

SEBANYAK 500,000 unit rumah mampu milik akan dibina di kawasan rawatan kumbahan seluruh negara dalam usaha mengatasi masalah kekurangan tanah terutamanya di bandar.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan melalui Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) akan menjalinkan kerjasama pintar dengan sebuah syarikat untuk merealisasikan perkara itu yang sedang diperhalusi.

“Kawasan kumbahan ini yang dulunya di bawah IWK (Indah Water Konsortium) akan dijadikan perumahan awam membabitkan 500,000 unit di lokasi strategik seluruh negara.

 

“Setakat ini, kita sudah dapat kelulusan dasar daripada jemaah menteri dan akan diperincikan sebelum keputusan dimuktamadkan,” katanya pada Majlis Sambutan Ulang Tahun SPNB ke-20 di Menara Felda Platinum Park, Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi SPNB Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Perumahan berkata, melalui kerjasama pintar itu, kerajaan akan menggunakan teknologi terkini yang hanya menggunakan lima hingga 10 peratus daripada tanah IWK untuk rawatan kumbahan.

“Teknologi ini tidak menjejaskan fungsi rawatan kumbahan dan baki tanah iaitu 90 hingga 95 peratus lagi itu yang kita akan bina unit rumah berkenaan,” katanya.

Comment

BERI MAKLUM BALAS