SHARE AND LIKE THIS POST

SUBANG: Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) memperbaharui perjanjian kerjasama dengan 17 rakan kongsinya untuk menyiapkan pembinaan lebih 12,000 unit rumah mampu milik dengan nilai kontrak mencecah RM3.29 bilion.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, berkata menerusi perjanjian yang mengandungi model perniagaan dipertingkatkan itu, ia membolehkan PR1MA dan 17 rakan kongsinya menyelesaikan isu pembinaan yang dihadapi sebelum ini.

Ia sekali gus dapat menyiapkan pembangunan projek secara lebih berkesan dalam tempoh yang ditetapkan.

Beliau berkata, projek yang dilaksanakan 17 pemaju itu sudah 90 peratus siap dan ia dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir tahun ini.

Katanya, rumah yang dibangunkan itu berharga di bawah RM300,000 dan ia membabitkan rumah bertanah serta berstrata.

“Penjualan unit rumah yang dibangunkan 17 pemaju ini sudah dilakukan dengan kadar jualan lebih 50 peratus,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan pertukaran perjanjian kerjasama diperbaharui itu, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi PR1MA, Tan Sri Eddy Chen Lok Loi dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Mohd Nazri Md Shariff.Zuraida berkata, kementeriannya juga akan mengadakan pertemuan dengan pembeli awal rumah PR1MA yang mendakwa mereka berdepan kerugian susulan PR1MA menawarkan rebat sehingga 20 peratus kepada pembeli rumah baharu.

Beliau berkata, setakat ini, pihaknya sudah mengumpul kira-kira 500 kes rayuan dari seluruh negara berkaitan perkara berkenaan.

“Kami akan mengadakan mesyuarat dengan mereka (yang mengemukakan rayuan) pada Oktober ini,” katanya.

Mengenai perkembangan terkini Kempen Pemilikan Rumah 2019 (HOC 2019), Zuraida berkata, pihaknya mengunjurkan kempen berkenaan menjana RM17 billion jualan menjelang akhir tahun ini.

Setakat ini, beliau berkata, jualan yang dijana menerusi kempen itu sudah melebihi RM14 bilion.

Comment

BERI MAKLUM BALAS