SHARE AND LIKE THIS POST

PETALING JAYA: Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) yang optimis secara berhati-hati mengenai unjuran sektor hartanah berharap situasi yang lebih baik pada separuh pertama 2021 sekiranya tiada jangkitan pandemik COVID-19 membabitkan komuniti baharu di negara ini.

Presidennya, Datuk Soam Heng Choon, berkata jualan dijangkakan lebih baik pada separuh pertama 2021 seiring dengan pemulihan ekonomi dan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) yang berterusan serta persekitaran kadar faedah yang rendah.

“Dengan berakhirnya moratorium hari ini, saya berpendapat institusi kewangan memberi bantuan bersasar menerusi kedua-duanya iaitu moratorium lanjutan dan penstrukturan dan pembiayaan semula pinjaman kepada pembeli yang masih memerlukan bantuan.

“Ini berikutan, mungkin ada yang masih belum bekerja dan dipotong gaji di beberapa sektor ekonomi yang tidak menunjukkan pemulihan khususnya mereka yang berada dalam sektor hospitaliti,” katanya pada sidang akhbar mengenai Ekspo Hartanah Malaysia-HOC 2020-2021 di sini, hari ini.

Ekspo itu akan bermula Jumaat hingga Ahad ini di Pusat Pameran Mid Valley di ibu negara.

Menyifatkan Malaysia telah menjalankan peranannya dengan baik bagi menangani pandemik COVID-19, Heng Choon berkata senario itu menunjukkan gambaran positif untuk menggalakkan orang ramai membeli hartanah.

“Selain itu, masyarakat juga telah sedar bahawa hartanah merupakan satu daripada pelaburan yang lebih baik untuk melindungi mereka daripada kemerosotan mata wang di peringkat global,” katanya.

Untuk menjadikan pembelian rumah lebih mampu milik kepada kumpulan tertentu termasuk mereka yang berada dalam ekonomi gig, Heng Choon berkata perbincangan, termasuk mengenai skim sewa untuk beli (RTO) masih ada, namun, kerajaan perlu memainkan peranan lebih penting dan melibatkan institusi kewangan.

“Saya berpendapat beberapa bank memperkenalkan (skim) pembiayaan Step-Up, bererti untuk lima tahun pertama, anda tidak perlu membayar prinsipal, anda hanya perlu membayar faedah. Hanya selepas lima tahun, anda perlu membayar prinsipal serta faedah,” katanya.

Beliau berkata, REHDA didorong oleh idea bahawa, menjelang berakhirnya tempoh tamat pinjaman dalam pembiayaan Step-Up, jumlah kuantum yang dibayar dalam bentuk prinsipal serta faedah adalah hampir sama seperti proses konvensional.

Mengenai HOC-MAPEX 2020, Naib Presiden REHDA, Datuk Tong Nguen Khoong berkata, REHDA tidak menetapkan sasaran jualan pada acara tahun ini memandangkan ia hanya bermula pada Ogos dan tidak mengharapkan jumlah yang sama seperti 2019.

Sebanyak 35 pempamer, termasuk 25 pemaju, tiga institusi kewangan dan enam agensi kerajaan mengambil bahagian dalam acara itu. Masuk adalah percuma untuk orang ramai.

Kira-kira 57,000 unit hartanah yang dianggarkan bernilai RM37 bilion telah dijual pada HOC-MAPEX 2019.

HOC 2020-2021 adalah inisiatif yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 5 Jun 2020 di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang mana pembeli rumah tempatan mendapat pengecualian duti setem untuk pembelian unit kediaman untuk tempoh 1 Jun 2020 hingga 31 Mei 2021.

-BERNAMA

Comment

BERI MAKLUM BALAS