SHARE AND LIKE THIS POST

KUALA LUMPUR: Kerajaan mungkin memperkenalkan semula Kempen Pemilikan Rumah (HOC) 2.0 dalam tempoh terdekat bagi membantu pemaju menjual projek hartanah kediaman.

Ini sekali gus bakal merancakkan pasaran hartanah yang mula terkesan dengan wabak COVID-19, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata, kempen itu adalah sebahagian daripada perancangan jangka pendek tiga tahun bagi membantu menstabilkan industri perumahan.

Katanya, perancangan jangka pendek itu dijangka diumumkan selepas Aidilfitri.

“Pada prinsipnya, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kementerian Kewangan (MOF) akan merancang dan membentangkan perancangan jangka pendek tiga tahun bagi menstabilkan industri pembangunan dan hartanah akibat COVID-19.

“Kemungkinan besar kita akan memperkenalkan semula Kempen Pemilikan Rumah (HOC) bagi membantu pemaju menjual hartanah kediaman mereka,” katanya kepada BH.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz dan Zuraida baru-baru ini mengadakan sesi libat urus bersama wakil sektor perumahan seperti Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM) dan Institut Ejen Hartanah Malaysia (MIEA).

Dalam ucapannya, Tengku Zafrul berkata, antara isu yang dibincangkan termasuk cabaran yang dihadapi disebabkan COVID-19, meningkatkan permintaan pengguna dan memulihkan keyakinan pelabur.

“Saya hargai segala pandangan yang dibentangkan oleh pihak yang hadir dalam misi membaik pulih ekonomi ini,” katanya.

HOC diperkenalkan pada Januari 2019 dengan menawarkan pengecualian duti setem bagi surat cara pembelian rumah dan surat cara perjanjian pinjaman untuk rumah serta pemberian diskaun 10 peratus kepada rumah yang dijual dalam kempen itu.

Setakat November tahun lalu, HOC berjaya menjual 28,000 unit kediaman bernilai RM21 bilion.

Sementara itu Presiden REHDA, Datuk Ir Soam Heng Choon, berkata pengenalan HOC itu adalah antara beberapa cadangan yang dikemukakan oleh pihaknya sewaktu mengadakan pertemuan dengan MOF.

Selain HOC, REHDA juga katanya mencadangkan kepada kerajaan supaya menyifarkan kadar cukai keuntungan harta tanah (RPGT) bagi merancakkan kembali pasaran hartanah tempatan.

“Cadangan yang lain biarlah kerajaan umumkan nanti, saya tidak mahu mendahului keputusan mereka.

“Mengenai sama ada HOC kali ini akan sama dengan yang lalu, apa yang boleh saya katakan kita ada minta supaya diberi insentif tambahan.

“Setiap kali sakit takkan makan ubat sama, jadi kita minta ubat tambahan. Memandangkan sakit kali ini adalah lebih kuat, jadi kita mohon supaya (kerajaan) berikan dos yang lebih kuat,” katanya merujuk kepada HOC 2.0.

Ditanya mengenai jumlah rumah yang tidak terjual setakat ini, beliau berkata, angkanya tidak berubah memandangkan pemaju tidak melancarkan projek baharu ketika ini.

Comment

BERI MAKLUM BALAS