SHARE AND LIKE THIS POST

KUALA LUMPUR: Kajian semula cukai keuntungan harta tanah (RPGT), penurunan harga ambang pemilikan asing kepada RM600,000 bagi unit hartanah bertingkat tidak terjual di kawasan bandar dan pengenalan skim pembiayaan ‘sewa untuk miliki’ akan merancakkan sektor hartanah tempatan tahun ini.

Pengarah Eksekutif Knight Frank Malaysia, Judy Ong Mei Chen, berkata inisiatif di bawah Belanjawan 2020 yang akan dilaksanakan tahun ini bakal merangsang kekurangan yang terdapat dalam pasaran hartanah ketika ini.

“Kajian semula tahun asas bagi RPGT berkemungkinan akan memberi impak positif, yang mana akan merendahkan kenaikan cukai pelupusan hartanah sekali gus merancakkan aktiviti dalam pasaran sekunder.

“Langkah menurunkan harga ambang pemilikan asing bermula tahun ini pula akan mengurangkan unit hartanah tidak terjual bagi jenis kondominium dan apartmen di kawasan bandar yang terpilih.

“Dengan minat yang tinggi dalam program Malaysia My Second Home (MM2H) terutama daripada peserta Hong Kong, China, Taiwan menyaksikan Kementerian Pelancongan, Seni dan Kebudayaan (MOTAC) mengambil langkah pantas dalam kelulusan prosedur menjadi inisiatif penting kepada pasaran,” katanya dalam laporan separuh kedua 2019 Knight Frank.

Beliau berkata, Knight Frank melihat lebih banyak pemaju hartanah melakukan pembaharuan dalam melaksanakan automasi rumah pintar dan hijau bagi mempromosikan kehidupan lebih pintar.

Sebagai contoh, Mei Chen berkata, Kempen Pemilikan Rumah (HOC) yang dilaksanakan tahun lalu berjaya menjual 28,000 unit kediaman bernilai RM21 bilion setakat November tahun lalu.

Firma perunding hartanah, Knight Frank Malaysia dalam laporan separuh kedua 2019 mendapati HOC yang berakhir 31 Disember lalu menjadi pilihan pembeli dan pemaju.

“Sejumlah hartanah bernilai RM21 bilion berjaya dijual setakat November tahun ini dan ia melepasi sasaran jualan yang ditetapkan iaitu RM3 bilion.

“Paras lebih tinggi dalam aktiviti pasaran dipacu oleh pelaksanaan HOC yang berlanjutan sehingga 31 Disember lalu,” katanya.

Comment

BERI MAKLUM BALAS