SHARE AND LIKE THIS POST

KUALA LUMPUR: Hartanah kediaman jenis kondominium dan apartmen servis mencatatkan pertumbuhan terbesar dari segi permintaan di Malaysia, demikian menurut portal hartanah, iProperty.com.my.

Kedua-dua jenis kediaman berkenaan membolehkan permintaan terhadap hartanah kediaman sekunder di Malaysia meningkat 13.3 peratus tahun lalu, berbanding 2018.

Bagi hartanah kediaman jenis teres, meskipun peningkatan yang dicatatkan sedikit rendah iaitu sembilan peratus, namun ia masih menjadi hartanah paling popular dalam kalangan pembeli, mewakili lebih 50 peratus transaksi jualan sekunder dalam pasaran.

Dari segi kenaikan nilai, rumah teres satu-satunya hartanah kediaman yang mencatatkan peningkatan iaitu sebanyak 3.16 peratus manakala kondominium dan apartmen servis masing-masing susut 2.02 peratus dan 1.66 peratus.

Pengurus Besar Penyelesaian Data Pelanggan REA Group Asia, Premendran Pathmanathan, berkata sentimen pengguna dilihat semakin bertambah baik berdasarkan data yang diperoleh.

Katanya, terdapat peningkatan dari segi kunjungan unik untuk pencarian hartanah di seluruh negara sepanjang tahun lalu, sekali gus menyokong laporan bahawa sentimen pengguna telah meningkat naik.

“Namun, ia masih belum mencukupi kerana tidak bermaksud yang jika seseorang ingin membeli, maka individu itu akan terus membeli kediaman berkenaan.

“Ia perlu diterjemahkan kepada transaksi dan ini bergantung kepada bekalan hartanah sekunder yang ada di dalam pasaran, harganya dan juga lokasi hartanah berkenaan.

“Sebagai contoh di Kuala Lumpur, walaupun ada orang mahu membeli, tetapi penjual menarik diri. Jadi apa yang berlaku, penjual kini mempunyai lebih banyak pilihan kerana jumlah pembeli adalah lebih ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas taklimat Trend Permintaan Hartanah Kediaman Sekunder Malaysia bagi tahun 2019, di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Pengurus Besar iProperty Malaysia, David Mawer.

Mengulas lanjut, Premendran berkata, boleh disimpulkan pada masa ini, sedang berlaku peralihan daripada pasaran pembeli ke pasaran penjual di negeri tertentu.

“Di Johor, ia dilihat masih didominasi pasaran pembeli kerana mempunyai lambakan hartanah sekunder di sana.

“Namun, bagi Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang, saya boleh katakan ia terpecah dua. Bagi kondominium dan apartmen servis, ia pasaran penjual kerana jumlah senaraiannya semakin berkurang.

“Rumah teres adalah sebaliknya, kerana jumlah senaraian adalah masih tinggi menyebabkan pembeli mempunyai kuasa untuk memilih dan melakukan penawaran,” katanya

Comment

BERI MAKLUM BALAS