MM2H bukan HOC, atasi lambakan rumah mewah

16
0
SHARE AND LIKE THIS POST

PUTRAJAYA – Kerajaan sedang meneliti beberapa cadangan bagi mengatasi lambakan rumah mewah yang tidak terjual.

Statistik Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) menunjukkan, lambakan rumah mewah berharga RM1juta ke atas yang diusahakan pemaju swasta serta tidak terjual di Malaysia dianggar bernilai RM100 billion.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, bagi menyelesaikan masalah itu kerajaan mencadangkan Kempen Ekspo Perumahan di luar negara dilaksanakan melalui Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) dan bukan kempen Pemilikan Rumah (HOC) yang dinyatakan semalam sehingga menimbulkan kekeliruan.

Katanya, Program MM2H terbuka kepada semua warganegara asing, manakala China dan HongKong dipetik sebagai contoh memandangkan harga purata hartanah di situ adalah tinggi.

“Program MM2H yang diperkenalkan pada tahun 2002 meletakkan syarat-syarat ketat dan ia dikawal selia oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Jelas Zuraida, cadangan yang disebutkan semalam adalah untuk diperhalusi sebagai antara cara mengatasi lambakan rumah mewah yang telah pun siap dibina selama ini, namun masih tidak terjual.

Cadangan ini tambah beliau, mengambil kira faktor lain antaranya mengelakkan lambakan projek gajah putih yang tidak baik kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Selain itu, jika tidak diselesaikan masalah sosial yang mungkin berlaku sekiranya rumah-rumah itu dibiarkan tidak berpenghuni.

” Cadangan ini juga dapat merancakkan aktiviti ekonomi dalam negara, menarik aliran wang asing dan pelancongan ke dalam negara dan juga melalui program MM2H ia dapat menambah nilai modal insan melalui perkongsian kemahiran, pengalaman ekspatriat yang masuk secara sah dalam negara, ” katanya.

Menurut Zuraida lagi, cadangan itu juga adalah usaha kementerian dalam menyelesaikan beban ditinggalkan pentadbiran Barisan Nasional, yang dakwa beliau tidak melakukan kajian menyeluruh mengenai permintaan dan pengeluaran berkaitan perumahan.

“Perkara ini sudah tentu tidak mengalihkan fokus saya untuk memberitahu kepada program perumahan mampu milik buat B40 dan M40,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Comment

BERI MAKLUM BALAS