Teliti HOC untuk warga asing

80
0
SHARE AND LIKE THIS POST

PUTRAJAYA – Cadangan penganjuran Kempen Pemilikan Rumah (HOC) tidak terhad kepada warganegara China dan Hong Kong sahaja, sebaliknya terbuka kepada rakyat negara lain, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata, langkah bagi menyelesaikan isu lambakan rumah mewah tidak terjual itu bagaimanapun masih dalam perbincangan di peringkat kementerian dan belum dibawa kepada Kabinet.

Menurutnya, kempen itu kini di peringkat penelitian untuk perincian mekanisme serta peraturannya yang turut melibatkan pelaksanaan Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H).

“Apabila polisi ini sudah diperkemaskan, ia juga terbuka kepada rakyat dari mana-mana negara untuk menjadikan Malaysia sebagai rumah kedua,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis prapelancaran Forum Perbandaran Asia Pa­sifik Ketujuh (APUF7) di sini semalam.

Kelmarin, Zuraida dilaporkan mencadang­kan HOC untuk menarik pembeli dari China dan Hong Kong bagi menyelesaikan isu lambakan rumah mewah di negara ini yang bernilai kira-kira RM100 bilion.

Zuraida dalam pada itu berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan tempatan (KPKT) akan berbincang dengan Kementerian Pelancongan dan Kementerian Dalam Negeri yang menjaga hal ehwal permohonan MM2H mengenai HOC itu.

Menurutnya, terdapat juga permintaan supaya KPKT mempertimbangkan golongan pemastautin tetap di negara ini untuk memiliki rumah di bawah program HOC.

Ditanya mengenai kebimbangan pelbagai pihak bahawa kempen itu akan mengurangkan kuasa beli rumah rakyat tempatan, Zuraida berkata, ia hanya melibatkan rumah-rumah elit dan premium yang berharga lebih RM1 juta dan tidak terjual.

“Jika saya minta pemaju mengurangkan harga kepada RM200,000, itu adalah mustahil.

“Rumah-rumah ini akan terbengkalai, terbiar dan memberi imej yang buruk kepada negara.

“Itu yang perlu kita kaji, agar pelaburan masuk, pelancong datang dan hartanah itu boleh dikekalkan,” kata beliau. 
– Bernama

Comment

BERI MAKLUM BALAS