SHARE AND LIKE THIS POST

KUALA LUMPUR: Unit kediaman siap dibina tidak terjual pada suku pertama 2019 meningkat 224 peratus kepada 32,936 unit berbanding 10,181 unit yang dicatatkan pada 2014, kata Hong Leong Investment Bank (HLIB).

Penganalisis HLIB, Andrew Lim Ken-Wern, berkata daripada jumlah itu, sebanyak 63 peratus adalah kediaman berharga lebih RM300,000, yang mewakili 88 peratus dari segi nilai.

Beliau berkata, rekod juga menunjukkan sepanjang tempoh tujuh bulan pertama 2019, arah aliran permohonan pinjaman dan kelulusan pinjaman perumahan bulanan menunjukkan peningkatan ketara dengan masing-masing sebanyak 10.4 peratus dan 12.4 peratus.

“Ini menunjukkan kadar kelulusan yang lebih baik sebanyak 1.8 peratus. Jumlah transaksi pada suku pertama 2019 menunjukkan pertumbuhan 7.5 peratus tahun ke tahun kepada 52,212 unit berbanding 48,572 unit.

“Namun, 62.2 peratus urus niaga ini adalah untuk rumah berharga di bawah RM300,000, yang biasanya tidak memberikan margin yang mampan untuk pemaju,” katanya dalam nota penyelidikan.

Andrew berkata, pasaran hartanah masih tiada pemangkin dan diharapkan petunjuk kadar kelulusan pinjaman yang bertambah baik itu terus memberikan pertumbuhan dalam jangka masa terdekat kerana HLIB yakin penambahbaikan yang ada sekarang tidak mencukupi untuk mengangkat pasaran secara keseluruhan.

“Ia akan disokong lagi oleh Kempen Pemilikan Rumah yang dilanjutkan sehingga Disember 2019 dan pemotongan Kadar Dasar Semalaman (OPR),” katanya.

HLIB dalam nota penyelidikannya berkata, lima daripada lapan pemaju hartanah yang dikaji pihaknya menunjukkan prestasi dalam jangkaan, manakala Mah Sing, Ibraco dan IOI Properties berada di bawah sasaran.

Secara purata, katanya kesemua pemaju mencapai 44 peratus daripada sasaran jualan penuh pada separuh pertama 2019.

“Kami mengekalkan pendirian neutral bagi sektor hartanah kerana ketiadaan pemangkin jangka pendek untuk menjamin penarafan semula,” katanya.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, baru-baru ini mencadangkan supaya menganjurkan kempen pemilikan rumah di negara ini kepada warga China atau Hong Kong.

Perkara itu bagaimanapun masih di peringkat penelitian untuk memperincikan mekanisme di bawah Program Malaysia My Second Home (MM2H).

Ia bagi menarik pembeli China datang dan melabur dalam pasaran hartanah tempatan, yang lebih murah berbanding pasaran lain.

Pada masa ini, terdapat projek rumah mewah yang bernilai kira-kira RM100 bilion tidak terjual di negara ini.

Comment

BERI MAKLUM BALAS