SHARE AND LIKE THIS POST

KUALA LUMPUR: Perumahan mampu milik yang sesuai adalah asas kepada kesihatan dan kesejahteraan rakyat dan seterusnya dapat memastikan kelancaran fungsi-fungsi ekonomi.

Namun, di seluruh dunia, di negara-negara membangun mahupun negara maju, kebanyakan bandar raya bergelut untuk memenuhi keperluan berkenaan.

Sejajar dengan komitmen negara untuk menyediakan rumah yang mampu milik dan mencukupi bagi semua peringkat pendapatan, terutama bagi kumpulan berpendapatan rendah, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus menegaskan bahawa rumah mampu milik adalah satu tanggungjawab bersama dan kerajaan sedang mengkaji bagaimana penyedia prasarana boleh memainkan peranan mereka dalam mengurangkan kos rumah.

“Terdapat tiga komponen yang membentuk perkadaran terbesar kos, iaitu tanah, pembinaan dan prasarana,” katanya dalam satu temu bual eksklusif bersama Bernama, baru-baru ini.

“Juga terdapat kesedaran tinggi sekarang mengenai keperluan untuk mengurangkan kos. Bagi kos tanah, kerajaan bekerjasama dengan kerajaan negeri berkaitan mekanisme untuk mengurangkan kos; dan bagi kos pembinaan, kerajaan berhasrat untuk memanfaat teknologi seperti IBS (Sistem Binaan Berindustri) untuk mengurangkan kos,” katanya.

Menjelas lebih lanjut, Nor Shamsiah berkata ‘apa yang lebih penting adalah mengguna pakai strategi bagi meningkatkan tahap pendapatan isi rumah untuk menyediakan lebih banyak rumah mampu milik kepada rakyat’.

Bagi tempoh 2007-2016, pertumbuhan harga rumah telah mengatasi pendapatan isi rumah.

Berdasarkan kepada pendekatan pelbagai median, sebuah rumah dianggap tidak mampu milik sekiranya ia berharga lebih tiga kali ganda daripada pendapatan isi rumah tahunan, Malaysia berada pada 4.8 kali.

“Mari kita ambil B40 sebagai contoh. Dengan pendapatan bulanan median mereka sebanyak RM3,000, mereka hanya boleh mampu membeli rumah berharga sekitar RM108,000, tiga kali ganda pendapatan tahunan mereka.

“Jika anda lihat pada 68 peratus daripada jumlah unit kediaman yang tidak terjual, ia berharga di atas RM300,000. Itulah sebabnya mengapa kita juga perlu menangani ketidakpadanan penawaran-permintaan ini.

“Meskipun terdapat permintaan terhadap rumah mampu milik, pemaju membina rumah yang berharga di luar kemampuan majoriti rakyat Malaysia,” katanya.

Baru-baru ini, bank pusat meningkatkan kriteria kelayakannya bagi mereka yang mahu membeli hartanah di bawah Dana bagi Rumah Mampu Milik BNM yang berjumlah RM1 bilion.

Berkuatkuasa 1 September 2019, individu yang merancang memohon pembiayaan membeli rumah mampu milik layak berbuat demikian sekiranya mereka mempunyai pendapatan isi rumah bulanan maksimum RM4,360, naik 86 peratus daripada had paras pendapatan sebelum ini pada RM2,300 sebulan.

Selain itu, harga hartanah maksimum akan dinaikkan kepada RM300,000 daripada RM150,000.

Terma baharu ini akan membantu pembeli daripada kumpulan pendapatan ini untuk memperoleh pembiyaan membeli rumah pertama mereka.

Sementara itu, beliau juga menegaskan tentang kepentingan Garis Panduan mengenai Pembiayaan Bertanggungjawab.

“Garis Panduan mengenai Pembiayaan Bertanggungjawab masih relevan kerana objektif utama garis panduan ini adalah untuk memastikan peminjam dapat membiayai pinjaman dan boleh mendapat manfaat daripadanya.

“Oleh itu, sekiranya pelanggan membuat pinjaman untuk membeli rumah, pelanggan akan dapat memiliki rumah itu pada akhir tempoh pinjaman mereka. Kemudiannya, bank dan peminjam juga harus bertanggungjawab dalam keputusan berkenaan,” katanya.

-BERNAMA

Comment

BERI MAKLUM BALAS