SHARE AND LIKE THIS POST

KUALA LUMPUR: Rumah kediaman jenis apartmen servis terus menjadi pilihan pembeli berbanding jenis kediaman yang lain, terutama kondominium.

Laporan data analisis portal hartanah, iProperty.com Malaysia Sdn Bhd (iProperty) untuk separuh pertama tahun ini mendapati rumah jenis apartmen servis mencatatkan pertumbuhan permintaan paling ketara iaitu sebanyak 14.7 peratus sepanjang tempoh kajian.

Pengurus Besar Penyelesaian Data Pelanggan REA Group Asia yang juga syarikat induk iProperty, Premendran Pathmanathan, berkata peningkatan itu berikutan median harga bagi apartmen servis turun sebanyak 8.2 peratus kepada RM490,000.

Katanya, jenis kediaman terbabit juga lebih mampu milik biarpun berada di pusat bandar.

“Kediaman apartmen servis mempunyai daya tarikan tersendiri terutama apabila ia dibina di lokasi yang tepat serta mempunyai akses pengangkutan awam dan pusat komersial.

“Kami percaya permintaan terhadap jenis kediaman ini akan terus meningkat jika berada di lokasi strategik,” katanya pada taklimat data analisis separuh pertama 2019 iProperty.com.my di Kuala Lumpur, semalam.

Laporan data analisis berkenaan memberi pandangan makro secara telus mengenai aliran permintaan mengikut kunjungan pengguna portal hartanah dan data penyenaraian hartanah kediaman di pasaran Malaysia dengan tumpuan khusus di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor.

Laporan berkenaan juga disertakan dengan data tambahan yang dikumpulkan daripada brickz.my, bertujuan untuk menyediakan maklumat bagi rujukan pembuat polisi dan pemaju hartanah.

Sementara itu, Premendran berkata, permintaan terhadap pasaran perumahan di Pulau Pinang dan Johor masing-masing susut sebanyak 4.4 dan 16.1 peratus.

“Manakala bagi segmen bandar utama, Kota Bharu mendahului senarai yang mendapat permintaan disebabkan pangsapuri di kawasan itu berharga antara RM300,000 hingga RM500,000.

“Buat masa ini, apartmen servis mewakili tiga peratus penguasaan pasaran kediaman sekunder.

“Selain itu, permintaan rumah teres mencatatkan pertumbuhan sebanyak 3.7 peratus. Walaupun harga rumah teres dalam median RM300,000, namun permintaan bagi jenis kediaman ini rendah sedikit berbanding kondominium dan apartmen servis,” katanya.

Comment

BERI MAKLUM BALAS