Rumah mampu milik: Jangan abaikan golongan pendapatan rendah, sederhana

189
0
SHARE AND LIKE THIS POST

KUALA LUMPUR – Keputusan kerajaan untuk melonggarkan syarat pembelian rumah mampu milik dengan membenarkan golongan berpendapatan tidak melebihi RM4,360 sebulan sememangnya mampu melonjakkan pemilikan rumah dalam kalangan rakyat.

Namun begitu, Ketua Penyelaras Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat dan Perumahan (Reach), Datuk Iskandar Abdul Samad turut berharap supaya golongan berpendapatan kurang daripada RM2,300 sebulan tidak diabaikan dengan memastikan rumah berharga tidak melebihi RM150,000 terus dibina pemaju.

Sambil berpandangan hala tuju Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan adalah tepat tetapi perlu ditambah baik, Iskandar turut menggesa kerajaan membantu pembeli rumah mendapatkan deposit 10 peratus bagi pinjaman perumahan.

“Kerajaan Pusat memang memiliki skim seperti ini. Pada zaman kerajaan sebelum ini, terdapat Skim Rumah Pertamaku yang menawarkan pembiayaan sehingga 100 peratus dan juga skim pembiayaan deposit 10 peratus iaitu MyDeposit yang telah ditutup.

“Kerajaan Persekutuan hari ini juga menyediakan skim pinjaman untuk membayar deposit iaitu DepositKu tetapi skim ini adalah untuk FundMyHome sahaja di mana pembeli perlu membayar deposit 20 peratus dari harga rumah dan pinjaman maksimum adalah RM30,000. Oleh itu, pembeli yang membeli rumah RM300,000 perlu membayar RM60,000 dan mereka masih perlu mencari RM30,000 lagi daripada sumber-sumber yang lain,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng baru-baru ini mengumumkan syarat permohonan Dana Rumah Mampu Milik bernilai RM1 bilion akan dilonggarkan mulai 1 September ini.

Dana tersebut menurut Guan Eng pada asalnya disediakan untuk mereka yang berpendapatan tidak melebihi RM2,300 sebulan untuk membeli rumah tidak melebihi RM150,000 tetapi dilonggarkan kepada individu berpendapatan tidak melebihi RM4,360 sebulan yang ingin membeli rumah berharga tidak melebihi RM300,000.

Dalam pada itu, Iskandar turut berpandangan kemudahan mendapatkan pembiayaan deposit juga perlu diperluas dan dipermudahkan.

Jelas beliau, skim DepositKu seharusnya tidak tertakluk kepada FundMyHome sahaja tetapi untuk semua pembelian sepertimana skim MyDeposit sebelum ini.

“Masalah hari ini adalah bukan rumah yang tidak mencukupi tetapi rumah yang dibina tidak mencukupi untuk golongan tertentu iaitu golongan berpendapatan rendah dan sederhana rendah.

“Polisi baharu ini memang berupaya meningkatkan pemilikan kediaman kerana ia melibatkan kelompok yang baru tetapi usaha juga mesti dilakukan untuk memastikan pemilikan rumah dalam kalangan golongan berpendapatan rendah dan sederhana rendah dapat ditingkatkan,” ujar beliau. – UTUSAN ONLINE

Comment

BERI MAKLUM BALAS