SHARE AND LIKE THIS POST

JOHOR BAHRU: Pembangunan Ibrahim International Business District (IIBD) bakal menjadi pusat perdagangan bertaraf dunia di Gerbang Selatan Malaysia.

Johor Corporation (JCorp) dalam satu kenyataan berkata, IIBD bakal menjadi segi tiga emas Johor Bahru selain menjadi pusat perdagangan bertaraf dunia dan hab perniagaan, pelaburan dan keusahawanan.

Katanya, nilai pembangunan kasar (GDV) IIBD dianggarkan pada RM20 bilion dan kedudukan strategiknya akan memangkin Johor Bahru menjadi kuasa ekonomi selatan.

Ia berkata, IIBD terletak di Wilayah Ekonomi Johor Selatan dan Daerah Sentral Johor Bahru, meliputi kawasan seluas 101 hektar.

“Sejak pelancaran Pelan Induk IIBD pada pertengahan 2016, JCorp memainkan peranan utama selaku penggerak pembangunan IIBD, dan bekerjasama dengan pihak berkaitan dalam menggalakkan pembabitan semua membina pusat perdagangan antarabangsa Johor Bahru.

“IIBD memainkan peranan penting sebagai tunggak perniagaan, pelaburan dan keusahawanan dalam merangsang kegiatan ekonomi dan mewujudkan persekitaran terbaik untuk pelaburan dan perniagaan.

“Sebagai sebahagian daripada proses penciptaan bersama yang diterajui oleh JCorp, salah satu pendekatan JCorp untuk mendorong pembangunan IIBD ialah melaksanakan kerjasama awam swasta dan pakatan dengan pemaju utama di dalam IIBD. Salah satu pelantikan yang dibuat ialah Coronade Properties, iaitu pemaju Coronation Square yang telah berganding bahu dengan JCorp dalam beberapa inisiatif,” katanya.

JCorp berkata, saluran infrastruktur utama IIBD juga akan disepadukan dengan gaya hidup bandar, dihubungkan dengan rangkaian pengangkutan dan pejalan kaki bersepadu.

Katanya, seiring dengan hasrat menjadikan IIBD hab pelaburan di rantau ini, beberapa komponen infrastruktur akan dilaksanakan bagi mengukuhkan pusat perdagangan dan menghubungkan pelbagai aspek masyarakat.

Antaranya adalah Pelan Bersepadu Infrastruktur dalam Pelan Induk IIBD, memperincikan hasil kajian lalu lintas dan cadangan pengangkutan awam dan infrastruktur selanjutnya untuk menjamin keterhubungan terus ke dan di seluruh IIBD.

Ia berkata, matlamatnya adalah untuk menambah baik pengurusan lalu lintas dan pejalan kaki.

Comment
Tawaran Istimewa dari Lazada:

BERI MAKLUM BALAS