SHARE AND LIKE THIS POST

KUALA LUMPUR: Kerajaan berhasrat memperluas skim Sewa Untuk Milik (RTO) kepada kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) bagi hartanah milik kerajaan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata langkah ini akan membantu mengurangkan beban golongan berpendapatan rendah yang mengalami kesukaran dalam mendapatkan pinjaman perumahan.

“Pada masa ini kerajaan mempunyai Rumah Transit (untuk memenuhi keperluan mereka) dan apabila melepasi kategori B40, mereka boleh mencari hartanah yang mampu dimiliki,” katanya kepada pemberita selepas majlis makan malam tahunan Pesatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) di sini, malam tadi.

Selain RTO, beliau berkata mereka juga boleh mencari hartanah berharga RM160,000 dan ke bawah, yang hanya memerlukan mereka membayar kira-kira RM600 sebulan.

Terdahulu, Zuraida berkata Kempen Pemilikan Rumah Kebangsaan akan berlangsung selama enam bulan tahun depan untuk membantu mengurangkan jumlah lambakan hartanah kediaman tidak terjual, khususnya yang berharga antara RM300,000 dan RM500,000.

“Kempen ini akan diadakan di Kuala Lumpur dan rumah di seluruh Malaysia akan dijual dalam tempoh berkenaan namun jika kempen itu perlu diadakan di negeri lain, kita akan pertimbangkan. Kita berharap dapat memulakannya pada Januari 2019,” katanya.

Sementara itu, Presiden REHDA, Datuk Soam Heng Choon berkata kerajaan perlu mempercepatkan proses untuk mempunyai data perumahan berpusat bagi membolehkan pihak berkepentingan membuat keputusan bermaklumat bagi sebarang pembangunan pada masa depan.

Beliau juga berharap kerajaan akan mengambil peranan bagi semua projek pembinaan perumahan sosial dan tidak bersaing dengan pemaju lain bagi produk pasaran terbuka. – BERNAMA

Tawaran Istimewa dari Lazada:

BERI MAKLUM BALAS