Sultan Johor serah sijil tawaran rumah YSIJ

21
0
SHARE AND LIKE THIS POST

JOHOR BAHRU 21 Nov. – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Penyerahan Sijil Tawaran Rumah Impian Bangsa Johor Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) kepada penerima yang terpilih.

Baginda berangkat menyempurnakan majlis tersebut di tapak projek Rumah Impian Bangsa Johor (RIBJ), Bandar Dato’ Onn di sini sebentar tadi.

Pada majlis sama, Sultan Ibrahim turut berkenan memotong pulut kuning yang disediakan khas oleh JCorp sempena Hari Keputeraan baginda yang jatuh pada hari esok.

Johor Corporation (JCorp) melalui syarikat Kumpulannya, Johor Land Berhad (JLand) diamanahkan untuk membina RIBJ dalam dua kawasan pembangunan yang strategik serta berprestij iaitu di Bandar Dato’ Onn dan Bandar Baru Majidee.

Seramai 1,809 permohon telah disenarai pendek berdasarkan kriteria-kriteria yang ditetapkan untuk ditawarkan RIBJ dan daripada jumlah itu, 71 pemohon terpilih ditawarkan rumah dengan 32 orang menerima Sijil Tawaran RIBJ hari ini manakala bakinya diserahkan pada fasa pemilihan selanjutnya.

Projek RIBJ di Bandar Dato’ Onn dilaksanakan oleh JCorp dengan kerjasama kerajaan negeri melibatkan pembinaan sebanyak 488 unit sejak Julai lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2020.

Projek RIBJ di Bandar Dato’ Onn menyaksikan pembinaan Rumah Sesebuah Dua Tingkat Jenis A sebanyak 29 unit, Rumah Berkembar Dua Tingkat Jenis B (156 unit), Rumah Kluster Dua Tingkat Jenis C (100 unit) dan Rumah Teres Dua Tingkat Jenis D (203 unit).

Bagi RIBJ di Bandar Baru Majidee, JCorp juga diamanahkan untuk menyempurnakan pembinaan 320 unit pangsapuri tiga bilik dan projek tersebut dijangka siap sepenuhnya penghujung tahun 2019.

Tawaran Istimewa dari Lazada:

BERI MAKLUM BALAS