SHARE AND LIKE THIS POST

KUALA LUMPUR: Sektor hartanah perlu menyelaraskan semula harga jualannya bagi berhadapan kelembapan pasaran dan lebihan permintaan, kata Pengerusi Sime Darby Property Bhd, Tan Sri Zeti Akhtar Abdul Aziz.

Beliau berkata, pasaran sektor hartanah kini dilihat berhadapan dengan lebihan bekalan dengan kelembapan permintaan hartanah.

Katanya, dalam mana-mana pembelajaran ekonomi, semua perkara adalah harus berasaskan bekalan dan permintaan.

“Jika sektor hartanah berhadapan dengan lebihan bekalan tetapi permintaan berada di tahap yang rendah, apa yang perlu diselaraskan adalah harga. Ia perkara yang perlu diambil kira oleh semua termasuk kerajaan dan pemain sektor hartanah untuk pengguna dan isi rumah.

“Namun, pelarasan itu perlu berasaskan beberapa perkara seperti lokasi hartanah dan jenis hartanah itu sendiri,” katanya selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) Sime Darby Property di sini, hari ini.

Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) itu berkata, semua pihak harus memainkan peranan menguruskan kelembapan pasaran sektor hartanah dengan baik dan berkesan.

Katanya, sektor hartanah masih mempunyai masa untuk ditingkatkan kembali kerana sektor itu masih tidak merudum tetapi hanya perlahan.

“Kita masih ada masa untuk menguruskan sektor hartanah dan ia akan berjaya diatasi jika perancangan yang baik dapat dilaksanakan,” katanya.

Ketika ditanya mengenai hala tuju yang akan diambil Sime Darby Property, Zeti berkata, pihaknya percaya dapat mengatasi kelembapan sektor itu dengan sempurna kerana mempunyai kebolehan dan sumber.

Beliau berkata, perancangan Sime Darby Property kini adalah meninjau ke kawasan strategik dalam pembangunan hartanah dan bergerak menjadi peneraju dalam sektor itu.

“Kami akan meninjau pembangunan di kawasan yang ada permintaan dan menyokong ekonomi sekitar termasuk berdekatan dengan kawasan rumah mampu milik dan kemudahan awam.

“Ini perkara yang dalam perancangan kami untuk jangka masa sederhana,” katanya.

Sementara itu, mengenai harapan Bajet 2019 yang akan dibentangkan pada Jumaat ini, Zeti berkata, sebagai salah seorang ahli Majlis Penasihat Kerajaan, banyak cadangan yang dikemukakan oleh badan itu kepada kerajaan.

Namun, katanya terpulang kepada kerajaan untuk menerima pakai cadangan yang diberikan mereka ke dalam pembentang Bajet 2019 itu nanti.

“Saya melihat Bajet 2019 ini bakal memberi peluang kepada penstabilan ekonomi negara dan peningkatan momentum positif kepada rakyat,” katanya.

Comment

BERI MAKLUM BALAS