SHARE AND LIKE THIS POST

KERAJAAN Selangor sudah mengurangkan harga maksimum bagi rumah mampu milik Rumah Selangorku sebanyak RM20,000 bagi membolehkan lebih ramai penduduk bandar memiliki kediaman.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata, pengurangan harga rumah sedemikian dibuat melalui dasar yang disemak semula Rumah Selangorku 2.0, membolehkan kediaman jenis itu dijual antara RM42,000 sehingga harga siling RM230,000 berbanding harga maksimum RM250,000 sebelum ini.

Amirudin berkata, Rumah Selangorku 2.0 dilaksanakan selepas usaha dijalankan pada Februari lalu untuk melihat semula serta menambah baik dasar perumahan mampu milik yang mula diperkenalkan pada 2014.

“Dasar baharu yang kini dikenali sebagai Rumah Selangorku 2.0 sejak April lalu memberikan situasi menang-menang kepada pembeli dan pemaju. Kami mengurangkan harga maksimum daripada RM250,000 sebelum ini kepada RM230,000 untuk pembeli rumah.

“Saya berharap dengan pengurangan sebanyak RM20,000 ini, ia akan memudahkan pembeli rumah yang berhadapan dengan masalah untuk membeli dan mendapatkan pinjaman. Kami juga berharap lebih ramai rakyat Selangor akan dapat menjadi pemilik rumah melalui tindakan ini.

“Bagi pemaju pula, kami sudah mengurangkan peratusan kediaman Rumah Selangorku yang perlu mereka bina dari 50 peratus kepada 40 peratus selain mengecilkan saiznya dari 1,000 kaki persegi kepada 900 kaki persegi setiap unit dan pada masa sama mengekalkan kepadatan sehingga 120 unit bagi setiap ekar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pembangunan Hartanah Harga Kawalan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Seminar sehari itu yang turut disertai lebih 300 wakil industri hartanah menjadi platform kepada kerajaan negeri memberikan penerangan mengenai dasar selain penambahbaikan bawah Rumah Selangorku 2.0.

Amirudin berkata, pemaju kini diwajibkan untuk memperincikan spesifikasi unit yang dijual kepada pembeli bagi mengelakkan berlaku masalah tidak puas hati terhadap kemasan rumah seperti berlaku sebelum ini.

Sementara itu, Amirudin berkata, antara 2014 sehingga September tahun ini, sejumlah 204 projek rumah mampu milik membabitkan pembinaan sebanyak 104,460 unit kediaman sudah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Sejumlah 6,303 unit sudah disiapkan dan diserahkan kepada pembeli manakala sebanyak 22,336 lagi dalam proses pembinaan dan pemiliknya boleh berpindah masuk secara berperingkat-peringkat mulai tahun ini sehingga 2022.

Amirudin berkata, bagi fasa seterusnya, kerajaan negeri sudah meletakkan sasaran pembinaan sebanyak 30,000 kediaman Rumah Selangorku dari sekarang hingga 2023 dan beliau akan mengawasi perkembangannya bagi memastikan ia dapat dilaksanakan.

Comment

BERI MAKLUM BALAS