SHARE AND LIKE THIS POST

KUALA LUMPUR: Hartanah di sekitar rangkaian pengangkutan awam seperti Tren Aliran Transit Massa (MRT) perlu dijual pada harga mampu milik kerana boleh membantu golongan muda mengurangkan kos pengangkutan.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata apa yang berlaku kini adalah kebanyakan hartanah di sekitar laluan pengangkutan awam dijual pada harga yang tinggi sehingga tidak mampu dibeli oleh golongan muda.

Beliau berkata, golongan muda yang bekerja terpaksa tinggal jauh dari lokasi pekerjaan mereka sekali gus meningkatkan lagi perbelanjaan harian.

Ini, katanya bertentangan dengan konsep pengangkutan awam yang membantu mengurangkan kos pengangkutan rakyat serta meningkatkan kadar mobiliti.

“Kami akan berbincang dengan pihak terbabit seperti Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi melihat semula perkara ini.

“Apa yang berlaku kini lokasi kediaman golongan muda tidak strategik dan jauh dari lokasi kerja mereka. Seharusnya bila ada jalinan pengangkutan awam sebegini, ia membantu memudahkan golongan muda yang kebanyakannya berpendapatan bawah RM4,000.

“Bila ada pengangkutan awam, mereka boleh guna dan jimatkan perbelanjaan kos pengangkutan. Ini yang perlu kita teliti semula,” katanya selepas pelancaran program Kunci Rumah Pertamaku di sini, hari ini.

Selain itu, Syed Saddiq berkata pihaknya akan berbincang dengan KPKT dan pemain industri hartanah bagi pelan pembangunan bersama di sekitar aset Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Ini bagi menjadikan aset KBS seperti kompleks sukan dapat digunakan sepenuhnya dan tidak dibiarkan kosong tanpa diguna oleh rakyat.

“Bila ada pembangunan hartanah di sekitar aset KBS, ia memanfaatkan lagi kepada rakyat. Mereka boleh guna kemudahan yang ada.

“KBS juga bakal bekerjasama dengan Kementerian Kewangan dan Kementerian Pendidikan bagi program kesedaran kewangan kepada golongan muda,” katanya.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif FAR Capital, Faizul Ridzuan, berkata program Kunci Rumah Pertamaku membolehkan golongan belia dan wanita berpendapatan rendah dan sederhana memiliki rumah sendiri dengan pertolongan pihaknya.

Faizul berkata, pihaknya menyasarkan seribu penyertaan kepada golongan terbabit yang berminat memiliki kediaman tetapi tidak tahu proses serta tips dalam mendapatkan pinjaman dan mencari lokasi yang sesuai.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, seramai 50 pembeli bertuah akan dibantu sepenuhnya oleh pihaknya dalam merealisasikan impian mereka memiliki kediaman.

“Dalam masa 12 bulan atau kurang, kita akan pastikan dan bantu mereka ini mendapatkan kediaman. Pihak kami akan kenal pasti masalah dan bantu mereka mendapatkan pinjaman dan sebagainya.

“Ini kerana kebanyakan pembeli muda dan wanita tidak memiliki kefahaman mengenai pemilikan kediaman serta situasi kewangan yang kukuh sehingga menyebabkan permohonan mereka sering ditolak pihak bank. Ini yang akan kita atasi dan bantu,” katanya.

Tawaran Istimewa dari Lazada:

BERI MAKLUM BALAS