SHARE AND LIKE THIS POST

KUALA LUMPUR: Seorang peguam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam, atas pertuduhan melakukan pecah amanah berhubung urusan jual beli rumah teres dua tingkat membabitkan jumlah RM402,500, tahun lepas.

Mohd Haidar@Hasmayudin Mohd Hashim, 45, yang hadir ke mahkamah dengan berkerusi roda, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Azman Ahmad.

Dia didakwa sebagai seorang ejen iaitu seorang peguam di Tetuan Mohd Haidar & Co yang diamanahkan wang berjumlah RM402,500 yang merupakan bayaran penuh bagi baki harga belian daripada pasangan suami isteri V.Ananthi dan M.S Loganathan kepada Mohd Hazizi Saodi, bagi penjualan hartanah (rumah) milik Mohd Hazizi, seperti dalam perjanjian jual beli bertarikh 29 Nov 2015, telah melakukan pecah amanah jenayah dengan menggunakan harta itu bagi kegunaan sendiri.

Sementara itu, Ahmad Ansor Muhd Rivai Batubara, 45, yang merupakan rakan kongsi Tetuan Mohd Haidar & Co, juga menghadapi pertuduhan sama. Bagaimanapun dia tidak hadir ke mahkamah semalam.

Mahkamah kemudiannya mengeluarkan waran tangkap terhadap Ahmad Ansor selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya S.Malini Anne supaya waran tangkap dikeluarkan terhadap Ahmad Ansor kerana tidak hadir ke mahkamah.

Mohd Haidar dituduh melakukan kesalahan itu di Tetuan Mohd Haidar& Co beralamat di No.2-2, Tower 3, Bangsar Avenue 3, Jalan Kerinchi, di sini, pada 8 Sept 2016 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Malini Anne tidak mencadangkan sebarang jaminan bagaimanapun Mohd Haidar yang tidak diwakili peguam memohon supaya mahkamah membenarkan jaminan atas alasan dia lumpuh dan tidak akan melarikan diri.

“Saya lumpuh akibat strok sejak Jun tahun lepas dan hampir 90 peratus hidup  dan saya menjalani fisioterapi di Melaka,” katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu pasport diserahkan kepada mahkamah
sehingga kes selesai dan menetapkan 22 Ogos untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, pada 1 Jun lepas, Mohd Haidar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan melakukan pecah amanah berhubung urusan jual beli
hartanah melibatkan jumlah RM2.2 juta, tahun lalu. — Bernama

Comment

BERI MAKLUM BALAS