SHARE AND LIKE THIS POST

PELABURAN Hartanah Bhd (PHB) menyelesaikan program bantuan penyewaan untuk membantu penyewa runcit yang terjejas di pusat membeli-belah dan juga di bangunan lain milik mereka.

Pengarah Urusan PHB, Datuk Mahmud Fauzi Muda berkata, ia selaras pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai pengecualian bayaran sewa atau diskaun sewaan untuk peniaga runcit perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Ia membabitkan premis dimiliki syarikat berkaitan kerajaan dan turut digalakkan untuk pemilik premis swasta.

“Kami meneliti program bantuan bayaran sewa ini khususnya untuk penyewa di pusat beli-belah kendalian PHB,” katanya.

Antara bangunan dimiliki PHB adalah Menara 1 Dutamas, Tesco Setia Alam, Nu Sentral, Empire Shopping Gallery dan The Shore Shopping Gallery di Melaka.

Selain itu, PHB memiliki bangunan pejabat antaranya di Menara Bumiputra Commerce, CP Tower, Menara Prisma, Wisma Consplant, 1 Sentrum dan Dataran PHB.

Dalam pada itu, PHB yang juga penaja Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) dan Maybank Asset Management Sdn Bhd (MAM) telah mengumumkan agihan pendapatan interim bagi AHB pada 2.60 sen seunit untuk enam bulan berakhir pada 31 Mac lalu, membabitkan 500,000 unit pertama yang dipegang oleh pemegang unit.

“Ia termasuk agihan pendapatan asas 2.30 sen seunit dan agihan bonus 0.30 sen seunit,” kata PHB dan MAM dalam satu kenyataan bersama, semalam.

“Bagi pemegang unit institusi memiliki lebih daripada 500,000 unit, lebihan unit itu layak mendapat agihan pendapatan asas berjumlah 2.30 sen seunit.

“Oleh itu, pengagihan pendapatan interim untuk pemegang unit institusi akan berada antara 2.30 sen seunit sehingga 2.60 sen seunit, bergantung kepada jumlah unit dipegang,” katanya.

Agihan pendapatan ini dijangka memberi manfaat kepada 75,000 pemegang unit Bumiputera serta 14 institusi Bumiputera.

Menurut PHB dan MAM, agihan pendapatan ini dikecualikan cukai dan akan dikreditkan terus ke dalam akaun bank pemegang unit menjelang 14 April nanti.

“Bagi mereka yang melabur melalui Skim Pelaburan Anggota Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), jumlah itu dikreditkan ke dalam Akaun 1,” katanya.

Comment

BERI MAKLUM BALAS