SHARE AND LIKE THIS POST

Projek terbesar hartanah di Malaysia, “Bandar Malaysia” nampaknya tertangguh lagi selepas perjanjian dengan konsortium yang berjaya dalam bidaan iaitu konsortium ICSB yang terdiri daripada Iskandar Waterfront Holdings (IWH) dan China Railway Engineering Cooperation (CREC) dibatalkan oleh pemilik iaitu TRX City Sdn Bhd semalam.

Menurut TRX City, sebuah entiti di bawah Kementerian Kewangan, Perjanjian Penjualan Syer yang melibatkan pembangunan tanah seluas 486 ekar itu dibatalkan selepas ICSB gagal membuat pembayaran yang ditetapkan dalam tempoh yang dipersetujui walaupun selepas beberapa lanjutan diberikan.

Berikutan pembatalan ini, Kementerian Kewangan yang memiliki 100% TRX City kini memiliki 100% Bandar Malaysia.  Mungkinkan ini suatu kelebihan dan kebaikan untuk negara amnya dan rakyat Malaysia khususnya selepas isu hangat mengenai penjualan aset negara sebelum ini?

TRX City dalam satu kenyataan akan membuka tawaran minat (expression of interest) dengan seberapa segera untuk melantik Kontraktor Utama dalam memastikan rakyat Malaysia mendapat manfaat dari pembangunan Bandar Malaysia ini kelak.

Dalam pada itu, ICSB mengambil serius perkembangan ini dan akan mendapatkan nasihat perundangan berkaitan pembatalan perjanjian ini.  Difahamkan ICSB telah membayar sejumlah RM150 juta sebagai pembida berjaya pada tahun 2015.  Di bawah perjanjian, ICSB akan memiliki sejumlah 60% daripada Bandar Malaysia dengan nilai sejumlah RM7.41 billion, dimana ia telah menilaikan projek Bandar Malaysia seluas 486 ekar tersebut sebanyak RM12.35 billion.

Bandar Malaysia merupakan projek hartanah terbesar di Malaysia dan dijangkakan bakal membentuk sebahagian dari bandar Kuala Lumpur dan akan menjadi nukleus sistem pengangkutan awam Malaysia yang menyambungkan tren laju KL-Singapura, MRT, KTM Komuter, ERL dan beberapa lebuhraya.

Pembangunan asal Bandar Malaysia pada awalnya di bawah 1MDB, di mana ICSB terpilih sebagai pembida berjaya selepas melalui proses pemilihan yang kompetitif.  Namun demikian, selaras dengan penstrukturan semula 1MDB, tanah berkenaan telah dipulangkan semula kepada Kementerian Kewangan.

Diharapkan dengan pembatalan penjualan Bandar Malaysia kepada konsortium China ini akan dapat memanfaatkan rakyat Malaysia dan Bandar Malaysia kekal menjadi milik Malaysia.

Berita lain berkaitan pembatalan perjanjian penjualan Bandar Malaysia di bawah.

Perjanjian RM7.41b Bandar Malaysia tak jadi kenyataan

Perjanjian usahasama RM7.41 bilion yang bakal menyaksikan sebuah konsortium antara Iskandar Waterfront Holdings (IWH) yang berpangkalan di Johor dan China Railway Engineering Cooperation (CREC) bagi memiiliki kepentingan 60 peratus dalam Bandar Malaysia gagal menjadi kenyataan.

TRX City Sdn Bhd dalam satu kenyataan hari ini berkata Perjanjian Jualan Saham yang dimeterai pada 31 Disember 2015 dengan konsortium itu kini telah luput.

“Ini adalah kerana, walaupun lanjutan berulang kali diberikan, IWH-CREC gagal untuk membuat pembayaran.

 

“Hasilnya, perjanjian penjualan saham antara kedua-dua pihak adalah terbatal dan tidak lagi sah berkuatkuasa serta merta,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak dijadualkan melawat tapak Bandar Malaysia pada jam 5 petang tadi tetapi secara tiba-tiba dibatalkan.

Sebaliknya, kenyataan TRX City dikeluarkan tidak lama kemudian.

Perjanjian Bandar Malaysia sebelum ini disebut-sebut sebagai sebahagian daripada pelan rasionalisasi 1MDB bagi tujuan mengurangkan hutang firma pelaburan negara itu.
Tanah prima atau utama seluas 486 ekar di Sungai Besi, atau Bandar Malaysia, telah pun dipindahkan dan diletakkan di bawah kementerian kewangan.

TRX City berkata kerajaan kini memutuskan untuk membatalkan rancangan untuk menjual tanah berkenaan.

Baca artikel asal : MalaysiaKini

 

Comment

BERI MAKLUM BALAS