Johor bukan Shenzhen kedua

398
0
SHARE AND LIKE THIS POST
image-5JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri menafikan Johor menjadikan Shenzhen sebagai model pembangunannya dan mengakui wujud usaha sistematik untuk memberi gambaran negatif terhadap pembangunan pesat yang sedang dijalankan.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, konsep pembangunan yang diperkenalkan di negeri ini menekankan pendekatan berbeza dengan konsep yang lestari dan penggunaan teknologi hijau serta inovasi pintar.

“Pelbagai artikel ditulis yang memberi gambaran bahawa Johor tidak akan berjaya dalam usahanya menjadi kuasa ekonomi penting di rantau ini.

“Semua pembangunan pesat ini adalah masa depan Johor, kita bukan mahu meniru Singapura atau menjadikan Shenzhen sebagai model sebaliknya kita mahu jadi lebih dari semua itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Johor di Kota Iskandar, di sini kelmarin.

Terdahulu agensi berita antarabangsa; Bloomberg menerusi satu artikel dalam laman web mereka pada 22 November lalu, menulis mengenai projek pulau buatan Forest City di Johor yang dikatakan menyerupai bandar Shenzhen.

Artikel berkenaan turut memberi gambaran bahawa projek bandar pintar yang dibangunkan pemaju dari China itu akan menyebabkan berlaku lambakan hartanah di kawasan koridor pembangunan berkenaan.

Bagaimanapun Mohamed Khaled menegaskan, semua pemaju di Johor merupakan syarikat gergasi global yang mempunyai keupayaan inovatif dalam memasarkan produk masing-masing.

“Ia bukan sekadar projek yang hanya membina kondominium mewah, ia adalah usaha terancang melonjakkan Johor sebagai metropolis global. Jangan bimbang andaian akan berlakunya lambakan hartanah.

“Semua pembangunan ini akan membuka ruang pemilikan hartanah lebih kompetitif berbanding pasaran hartanah di kota besar di rantau ini terutamanya Singapura, Jakarta, Seoul, Tokyo dan Australia,” katanya.

Projek Forest City yang terdiri dari empat pulau buatan manusia dibangunkan di kawasan seluas 1,370 hektar di Gelang Patah melibatkan pelaburan RM170 bilion dengan tempoh pembangunan selama 20 tahun.
Comment

BERI MAKLUM BALAS