Portal Kuota Bumiputera dilancar

408
0
SHARE AND LIKE THIS POST

14012016aKUALA LUMPUR 13 Nov. – Kementerian Wilayah Per­sekutuan dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melancarkan Portal Kuota Bumiputera bagi memaklumkan kepada orang ramai berhubung unit-unit perumahan dan komersial bumiputera yang masih belum terjual di ibu negara.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, portal itu turut dilengkapi lokasi, saiz, harga dan maklumat berkaitan pemaju yang boleh membantu golongan bumiputera yang berminat membeli unit perumahan serta komersial.

“Mereka boleh melihat rumah-rumah yang mampu dibeli khususnya Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (Rumawip) berharga di bawah RM260,000 dengan keluasan 900 kaki persegi.

“Sehubungan itu, kerajaan sentiasa memastikan keperluan rak­yat diutamakan, pencapaian diutamakan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Portal Kuota Bumiputera di sini kelmarin.

Yang turut hadir Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Loga Bala Mohan; Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Adnan Md. Ikshan dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz.

Dalam pada itu, Tengku Adnan menepis tohmahan segelintir pihak tidak bertanggungjawab kononnya pemaju tidak mengambil kira keperluan bumiputera dan golongan tidak berkemampuan memiliki hartanah di ibu kota.

“Dengan adanya portal tersebut, saya berharap tohmahan yang mengatakan mereka me­minggirkan bumiputera dan golongan berpendapatan rendah adalah tidak benar.

Tambahnya, beliau merakam­kan penghargaan kepada kementerian dan DBKL kerana menyokong saranan beliau mewujudkan portal berkenaan.

Sementara itu, portal mesra pengguna tersebut boleh diakses menerusi laman web www.dbkl.gov.my/pkub.

 

Comment

BERI MAKLUM BALAS