Sewaan ke atas unit komersial tiada GST

102
0
SHARE AND LIKE THIS POST

KUALA LUMPUR – Pembekalan bagi sewaan ke atas unit komersial tidak akan dikenakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) jika tidak mencapai had RM500,000 setahun.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan telah memutuskan supaya bekalan perkhidmatan bagi semua jenis rumah kediaman berstrata meliputi kos rendah, sederhana dan mewah dikecualikan daripada GST.

Katanya, melalui subseksyen 18 (2) Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014, perkhidmatan kepada pemilik perumahan kos rendah dan pertengahan rendah di bawah hak milik strata dikategorikan sebagai bekalan dikecualikan.

“Ia diperluaskan untuk meliputi semua kategori perumahan kediaman dipegang di bawah hak milik strata.

“Ini bermaksud, apa-apa fi yang dikenakan oleh perbadanan pengurusan dan badan pengurusan bersama (JMB) ke atas penyelenggaraan serta pengurusan termasuk dana luar jangka adalah dikecualikan CBP,” katanya yang juga Menteri Kewangan dalam jawapan bertulis yang diedarkan di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Ng Wei Aik (DAP-Tanjong) yang ingin tahu sama ada GST perlu dikenakan ke atas apa-apa fi penyelenggaraan, pengurusan dan dana luar jangka oleh JMB dan badan pengurusan terhadap unit-unit komersial.

GST bakal dilaksanakan pada 1 April ini pada kadar enam peratus bagi menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sedia ada yang berkadar keseluruhan 16 peratus.

Bagaimanapun, Najib memberitahu jika pihak JMB atau perbadanan pengurusan membuat pembekalan bercukai seperti sewaan ke atas unit-unit komersial dan nilai had tahunan pembekalan tersebut mencapai RM500,000 setahun, maka pembekalan tersebut perlu dikenakan GST.

Pada 28 November lepas, beberapa agensi berkaitan hartanah telah mengemukakan petisyen meminta perubahan dibuat terhadap klasifikasi daripada penawaran kadar cukai standard kepada sifar bagi bayaran penyelenggaraan, dana luar jangka dan semua bayaran lain berkaitan yang dibayar oleh pemilik.

Kementerian Kewangan pada 5 Jan 2015 telah memberi maklum balas positif terhadap petisyen itu dengan persetujuan kerajaan menambah senarai pengecualian GST daripada kos rendah dan sederhana kepada hartanah kediaman berstrata. – Bernama

Comment
SHARE AND LIKE THIS POST
Artikel sebelum iniGST bakal naik harga rumah
Artikel seterusnyaMalaysia Vision Valley bakal lonjak ekonomi
19 tahun pengalaman dalam bidang hartanah termasuklah penilaian, ejen, lelongan dan pengurusan NPL. MK adalah pengasas Tips Hartanah yang berkongsi ilmu hartanah secara percuma dan merupakan pengasas bersama serta pengarah Ziyad Property Consultants. Dalam masa yang sama menjalankan perniagaan pengurusan aset NPL untuk pelabur di Malaysia melalui syarikat Capital Services Malaysia Sdn Bhd. Minat menonton Channel HGTV, Li dan Al-Hijrah. Ada soalan hartanah? Tanya MK. :-)

BERI MAKLUM BALAS