SHARE AND LIKE THIS POST

PELAKSANAAN cukai barangan dan perkhidmatan (GST) bermula April 2015 akan memberi impak negatif ke atas industri hartanah, sekali gus memberi kesan terhadap kenaikan harga rumah terutama kepada pembeli rumah mampu milik.

Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda), Datuk Seri Michael KC Yam berkata, selain pelaksanaan GST, kenaikan harga rumah juga didorong oleh beberapa faktor iaitu kesukaran pemaju mendapatkan pekerja selain soal gaji dan kekurangan pekerja.

“Faktor kedua adalah disebabkan kenaikan harga dan kekurangan bekalan bahan binaan utama seperti simen, bar keluli, pasir dan batu-bata.

“Pemain industri merasakan adalah perlu untuk melanjutkan penarafan cukai sifar ke atas bahan binaan utama ini bagi membantu menguruskan aliran tunai dengan lebih baik,” katanya selepas mengumumkan Laporan Kajian Industri Hartanah Rehda, di Kelana Jaya, semalam.

Menurutnya, pelaksanaan GST akan menyebabkan tambahan kos lain yang mana pemaju juga berdepan cukai sedia ada iaitu setem duti, cukai keuntungan harta tanah, levi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan cukai perkhidmatan.

“Kami juga mahu agar kerajaan mempertimbangkan semula cadangan untuk menaikkan setem duti kepada empat peratus dan mengekalkan kadar maksimum tiga peratus seperti dinikmati sektor hartanah sekarang,” katanya.

Sementara itu, hasil kajian laporan itu ke atas 150 pemaju dari 12 negeri di Semenanjung Malaysia termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mendapati jumlah pelancaran unit perumahan bagi tahun kedua 2013, menurun berbanding tahun sama sebelumnya.

“Prestasi jualan turut mencatat penurunan 20 peratus berbanding separuh tahun pertama 2013. Bagaimanapun pembeli tempatan masih mendominasi pasaran hartanah dan pembelian adalah bagi tujuan kediaman sendiri,” katanya.

Comment

BERI MAKLUM BALAS