SHARE AND LIKE THIS POST

Selepas Iskandar Malaysia, Koridor Utara (NCER) dan Koridor Pantai Timur (ECER)… kini akan dibangunkan sebuah lagi wilayah pembangunan ekonomi di Malaysia yang akan dikenali sebagai Malaysia Vision Valley (MVV).  MVV ini akan dibangunkan di kawasan barat Negeri Sembilan sebagai pemangkin di kawasan pantai barat dan pelengkap kepada pembangunan Lembah Kelang.

Pembangunan MVV akan meliputi kawasan seluas 108,000 hektar / 1,080 km persegi.  Sebagai perbandingan, Iskandar Malaysia adalah seluas 221,700 hektar/2,217 km persegi, NCER (1,781,600 hektar/17,816 km persegi), ECER (6,673,600 hektar/66,736 km persegi).

Tidak banyak fakta tentang MVV yang telah dimaklumkan atau diputuskan setakat ini sehingga Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dijadualkan pada 10 Julai ini.

Walau bagaimanapun, antara yang menarik yang akan terkandung di dalam pembangunan MVV ini nanti adalah pembinaan bukan sahaja rumah mampu milik tetapi juga kedai dan industri mampu milik yang pastinya dinantikan oleh mereka yang terlibat dalam perniagaan dan industri kecil.

Kredit: n9kini.com
Kredit: n9kini.com

Baca berita lanjut di bawah:-

Malaysia Vision Valley bakal lonjak ekonomi

KUALA LUMPUR 21 Mei – Pembentukan wilayah pembangunan ekonomi, Malaysia Vision Valley di bahagian barat Negeri Sembilan bakal melonjakkan pertumbuhan ekonomi pesat yang dapat memberi manfaat kepada rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, kedudukan wilayah ekonomi itu cukup strategik dan bakal menarik pelbagai pelaburan swasta.

“Dengan pelbagai pembangunan Wilayah Ekonomi di seluruh negara, kita merasakan ada satu koridor di tengah-tengah negara yang belum dicungkil sepenuhnya potensi iaitu kawasan selatan Lembah Klang.

“Kalau kita melihat kedudukan tempat seperti Port Dickson hanya sejauh kira-kira 30 kilometer dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Sekiranya kita dapat bangunkan lagi infrastruktur, kita dapat meningkatkan pertumbuhan bersama kawasan industri di Nilai dan Seremban,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Rancangan Malaysia Ke-11 hari ini mengumumkan pembentukan Malaysia Vision Valley di kawasan seluas 108,000 hektar yang bakal melengkapkan pembangunan di Lembah Klang.

Dalam pada itu, Abdul Wahid berkata, peruntukan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM260 bilion dalam RMK-11 merupakan peningkatan sebanyak 13 peratus berbanding peruntukan RM230 bilion dalam RMK-10.

“Sudah tentu sekiranya kita hendak memenuhi setiap permintaan negeri-negeri dan pelbagai kementerian, peruntukan itu tidak akan mencukupi namun kita akan mengoptimumkan apa yang kita belanjakan.

“Oleh itu, kita telah memperkenalkan satu kayu pengukur baharu iaitu Indeks Kreativiti untuk mengukur manfaat yang diperoleh daripada sesebuah projek dengan tidak hanya mengambil kira peruntukan dikeluarkan,” katanya.

Sumber: Utusan Online

Comment

BERI MAKLUM BALAS