SHARE AND LIKE THIS POST

Pernah terbaca tentang cadangan pemansuhan diskaun bumiputra di Selangor sebelum ini? Saya pasti ramai yang melenting terutamanya mereka yang hanya mengikuti sesetengah laporan atau berita yang terlalu memprovokasi dan kadangkala melaporkan secara tidak tepat.  Oleh itu saya berharap sebelum anda membaca lebih lanjut apa yang akan saya tuliskan di bawah, sila berfikiran lebih terbuka dan jangan kaitkan isu ini dengan politik kerana saya sendiri tidak mengaitkan politik dengan Tips Hartanah.

Tiada Diskaun Untuk Rumah Mewah

Bagi yang mengikuti perkembangan tersebut dengan lebih dekat saya yakin anda tahu bahawa cadangan pemansuhan tersebut sebenarnya hanya ditujukan kepada hartanah mewah atau nilai tinggi yang sebelum ini mendapat tentangan dari golongan tertentu.  Walau bagaimanapun, cadangan awal untuk mengenakannya pada hartanah bernilai RM500,000 dan ke atas dilihat tidak sesuai kerana nilai hartanah di Selangor sendiri secara purata sudah hampir kepada nilai tersebut dan menunjukkan nilai tersebut tidak sepatutnya tergolong dalam kategori mewah.  Sejak dari cadangan tersebut, kerajaan Selangor telah melantik beberapa penasihat untuk membuat kajian lebih terperinci tentang cadangan tersebut.

Saya terbaca tentang artikel berkenaan cadangan yang masih di dalam proses review tersebut dan mendapati cadangan ini sebenarnya lebih baik dari apa yang pernah dilaporkan oleh sesetengah pihak sebelum ini dan ianya bakal membantu lebih ramai golongan bumiputra berpendapatan rendah dan yang tidak mampu membeli rumah.

Beberapa mesyuarat telah diadakan sebelum ini dan yang terakhir pada 19 Januari diadakan diantara Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berserta Ketua Pentadbiran Kerajaan Selangor, Konsultan Projek Swasta, arkitek dan Persatuan Pemaju Rumah dan Hartanah (REHDA) Selangor.  Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Negeri, Iskandar Abdul Samad di bawah pelan perancangan garispanduan yang disediakan mereka yang mampu memiliki rumah bernilai RM2.5 juta ke atas dianggap kaya dan tidak memerlukan diskaun tersebut.

“Kita mempunyai bumiputra yang tidak mampu memiliki rumah.  Mereka memerlukan bantuan dan sasaran kami adalah menghapuskan diskaun yang dinikmati oleh golongan kaya dan memberikannya kepada mereka yang tidak mampu.  Ini masih lagi suatu pilihan dan belum lagi menjadi polisi.” menurut beliau.

Saya secara peribadi amat mengalu-alukan polisi sebegini di mana sememangnya golongan tersebut tidak harus menikmati diskaun yang diperuntukkan.  Tetapi nilai diskaun yang dibayar oleh golongan ini seharusnya dipastikan disalurkan dengan betul dan telus supaya golongan bumiputra yang tidak berkemampuan tersebut mampu mendapat manfaat dari apa yang dinyatakan.

Walau bagaimanapun, ahli jawatankuasa REHDA, Datuk Ng Seing Liong tidak bersetuju dengan pandangan tersebut dan berpendapat pengecualian diskaun tersebut harus dikenakan terhadap hartanah dengan nilai serendah RM500,000 dan ke atas.  Ini adalah seperti yang dicadangkan pada peringkat awal oleh Tony Pua yang mana saya secara peribadinya sangat tidak bersetuju kerana seperti yang saya nyatakan terdahulu, nilai hartanah di Selangor adalah tinggi dan RM500,000 bukanlah dikategorikan sebagai mewah.  Walau bagaimanapun, saya juga berpendapat bahawa RM2.5 juta juga adalah nilai yang agak tinggi.  Ia seharusnya direndahkan sedikit lagi mungkin kepada RM1.5 juta atau RM2.0 juta.  Ini berdasarkan pembelian bernilai RM1.5juta, anda perlu membuat pembayaran bulanan sebanyak lebih kurang RM8,000 – RM10,000 sebulan yang mana pendapatan mereka yang mampu memiliki rumah sebegini seharusnya melebihi RM20,000 sebulan – yang boleh saya kategorikan sebagai golongan berada. Dengan merendahkan nilai tersebut, lebih banyak pendapatan yang boleh disalirkan untuk tujuan perumahan golongan kurang mampu seperti yang dirancangkan.

Selain itu, cadangan untuk membuka jualan lot bumiputra berdasarkan progress pembinaan projek turut dibincangkan.  Antaranya adalah membenarkan lot bumiputra dijual sebanyak 10% kepada bukan bumiputra apabila progress mencapai 50% dan menjual 20% dari kuota apabila mencapai progress 75% dan membuka jualan 50% daripada kuota apabila CF telah diperolehi.  Dari satu segi, saya lihat ini adalah untuk memenuhi kehendak pemaju yang rata-ratanya memikirkan pulangan mereka tetapi saya berpendapat kerajaan harus menilai dengan lebih teliti cadangan ini.  Walaupun penjualan unit bumi kepada bukan bumi ini memerlukan kelulusan jawatankuasa khas yang terdiri daripada Lembaga Perumahan & Hartanah Selangor, Pejabat Tanah & Galian, Pejabat Tanah dan Majlis Daerah ianya perlu dilihat dari sudut yang lebih kecil di mana adakah pemasaran telah dibuat dengan cara yang ‘munasabah’ dan pendekatan yang telah digunapakai untuk menarik pembeli bumiputra.  Jika tidak, saya fikir ini hanya membuka lebih banyak kuota bumiputra dijual kepada bukan bumiputra.

Saya berharap apabila polisi ini diimplementasikan nanti, ianya akan mengambilkira manfaat kepada majoriti bumiputra terutamaya mereka yang masih tidak mampu memiliki rumah.  Semoga ianya tidak terlepas ke poket orang lain tetapi bak kata pepatah keluar poket kanan masuk poket kiri.. yang mana akhirnya golongan bumiputra juga yang menerima manfaat sepenuhnya hasil dari pemansuhan diskaun yang dicadangkan.

Comment

BERI MAKLUM BALAS