SHARE AND LIKE THIS POST

IPOH – Peserta Program Perumahan Rakyat (PPR) kawasan Kampung Baru Jelapang Tambahan mohon penjelasan daripada kerajaan negeri berhubung projek perumahan berkenaan yang didakwa tergendala sejak beberapa tahun lalu.

Difahamkan, kawasan perumahan itu dibangunkan bagi tujuan penempatan semula kepada seramai 82 penduduk yang dipercayai telah menetap di situ sejak lebih 40 tahun lalu.

Penduduk di kawasan setinggan berkenaan telah diarahkan keluar dari kawasan itu pada 2011 oleh kerajaan negeri kerana mereka dijanjikan untuk ditempatkan di kawasan perumahan yang dijangka siap dalam tempoh dua tahun iaitu pada tahun 2013.

Kawasan penempatan setinggan itu juga telah dirobohkan bagi tujuan pembinaan projek PPR di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, projek perumahan yang dijanjikan, gagal disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan dan terbiar begitu sahaja.

Situasi berkenaan sekali gus menyebabkan penduduk berkenaan terpaksa tinggal menyewa selain menumpang di rumah saudara mara sehingga ke hari ini.

Tinjauan Sinar Harian ke kawasan berkenaan mendapati, memang wujud tapak projek PPR berkenaan, namun ia terbiar begitu sahaja tanpa sebarang pengawasan sewajarnya.

Seorang peserta PPR berkenaan, S.Parnirselvi, 37, berkata, dia kini terpaksa menetap di rumah mertuanya di kawasan berhampiran setelah rumahnya dirobohkan bagi tujuan pembinaan rumah berkenan.

Oleh itu katanya, perkara berkenaan diharap dapat diselesaikan dengan segera agar kesemua 82 penduduk setinggan berkenaan dapat mendiami rumah baharu seperti yang dijanjikan.

“Saya harap perkara ini boleh selesai cepat kerana sekarang saya tinggal di rumah mertua. Saya tak tahu kenapa boleh jadi macam ini.” katanya kepada Sinar Harian.

Kenyataan itu disokong R.Sritaran, 63 yang kesal kerana projek berkenaan gagal disiapkan mengikut jadual.

Lebih malang katanya, dia terpaksa tinggal di rumah sewa di sekitar Chemor dengan kadar sewa RM400 sebulan.

“Sekarang rumah pun belum siap. Dulu janji siap dua tahun saja, tapi sampai sekarang belum siap-siap lagi rumah itu,” katanya.

Seorang lagi peserta PPR, S.Jeevitha 30 pula berharap agar perkara berkenaan dapat segera diselesaikan untuk menjaga kepentingan serta kebajikan 80 penduduk berkenaan.

“Sekarang semua peserta ini tinggal menyewa. Macam mana pun, saya sangat berharap perkara ini boleh diselesaikan seberapa segera,” katanya.

Sudah bawa ke Sidang Dun

Dalam pada itu, Adun Jalong, Teh Hock Kee kesal kerana soalan berkaitan permasalahan berkenaan tidak dijawab dengan sepenuhnya Exco Kerajaan Negeri pada Sidang Dun pada 15 November 2016 lalu.

Katanya, dia kini turut turun ke lokasi bagi meninjau sendiri permasalahan yang berlaku dan  berharap agar sesuatu dilakukan kerajaan negeri.

“Saya pun tidak faham mengapa soalan saya tidak dijawab  dengan  betul di Dewan Negeri. Semua soalan sepatutnya di jawab, dan dibahaskan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar berkata, pihaknya berharap agar selain perkara ini diselesaikan, peserta akan menerima rumah kos rendah atau kos sederhana dan tanah  seperti yang dijanjikan.

Sivakumar meninjau kawasan projek perumahan terbiar berkenaan.

Namun, rumah yang dijanjikan tidak sempat disiapkan dan rumah setinggan semua telah dirobohkan.

“Saya sifatkan projek ini sebagai projek sakit. Kenapa projek ini boleh terhenti? Alasannya sebab pemaju.

“Selain itu, saya turut mempertikaikan jawapan yang diberikan ketika Sidang Dun. Sebenarnya hanya 82 yang tinggal. bukannya 112 peserta sebagaimana dalam jawapan yang diberikan,” katanya.

Kelewatan disebabkan beberapa perkara

Sementara itu Pengarah Bahagian Perumahan Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP), Yuhanas Auree Kamaruddin berkata, kelewatan projek berkenaan disebabkan pemaju perlu mendapatkan kelulusan pindaan pelan bangunan daripada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI),  khususnya bagi plan teknikal bangunan projek perumahan berkenaan.

Katanya, pemaju yang dilantik untuk mengendalikan projek perumahan berkenaan kini menggunakan kaedah pembangunan yang baharu iaitu blok IBS yang bertujuan mempercepatkan tempoh pembinaan yang berbeza dengan kaedah konvensional yang diluluskan MBI.

Beliau berkata, disebabkan itu, pemaju perlu mengemukakan semula reka bentuk teknikal bangunan mengikut kaedah pembangunan yang baharu bagi mendapat kelulusan.

“Pihak pemaju asal tak dapat teruskan projek sebab pada ketika itu (tahun 2011) kerana permohonan pemaju untuk menaikkan harga jualan ditolak kerajaan negeri.

 

“Dalam masa sama Pejabat Daerah dan Tanah Ipoh kini sedang membantu melaksanakan perpindahan kuil di tapak pembinaan kini ke tapak kuil yang baharu setelah persetujuan diperoleh daripada Jawatankuasa kuil berkenaan,” katanya.

Katanya, projek PPR penempatan semula setinggan itu dijangka siap pada Oktober 2018, kelak.

“Sebanyak 112 unit rumah akan dibina di situ dengan harga jualan rumah yang ditetapkan kerajaan negeri 52 unit rumah berharga RM78,000 seunit dan 60 unit rumah berharga RM53,000 seunit,” katanya.

Comment

BERI MAKLUM BALAS