SHARE AND LIKE THIS POST

KUALA LUMPUR: Rang Undang-undang Penilai, Pentaksir dan Ejen Hartanah (Pindaan) 2017 akan memberikan peluang kepada pengguna atau pemilik harta bagi mengemukakan aduan kepada Lembaga Penilai, Pentaksir dan Ejen Hartanah (LPPEH).

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Othman Aziz berkata ini termasuk saranan untuk mengambil tindakan terhadap penilai, pentaksir, ejen harta tanah dan pengurus harta tanah yang tidak menjalankan tugas mereka sehingga menyebabkan kesilapan.

“Sebelum ini, mereka, terutamanya yang bertanggungjawab dalam menguruskan hartanah didapati tidak berdaftar dengan LPPEH, jadi tindakan tidak boleh diambil.  Jadi, sekarang tujuannya adalah untuk membantu orang ramai menyelesaikan masalah mereka,” katanya ketika menamatkan perbahasan mengenai Rang Undang-undang Penilai, Pentaksir dan Ejen Hartanah (Pindaan) 2017 di Dewan Negara hari ini.

Rang undang-undang itu kemudian diluluskan oleh senat.

Othman berkata dengan pindaan itu, semua profesion yang berkaitan dengan industri hartanah di Malaysia dapat dikawal dengan lebih baik agar perkhidmatan yang berkualiti dapat diberikan bagi menangani cabaran yang dihadapi oleh industri pada masa kini dan pada masa akan datang.

“Ia juga bertujuan untuk menyelaraskan rangka kerja pengawalseliaan agar menjadi lebih berkesan dalam memenuhi keperluan semasa rakyat serta meningkatkan keyakinan pelabur terhadap agensi hartanah di Malaysia,” katanya.

Dewan Negara turut meluluskan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (Pindaan) 2017 untuk meminda peruntukan yang berkaitan dengan Lembaga Pemantauan Audit bagi memastikan keberkesanan lembaga itu berterusan dalam melaksanakan tugas yang diberikan kepadanya di bawah Akta itu. – Bernama

Comment

BERI MAKLUM BALAS