SHARE AND LIKE THIS POST

KUALA LUMPUR: Tinjauan pasaran hartanah dijangka terus mencabar kerana bekalan terus mengatasi permintaan, kata Kenanga Research hari ini.

Firma penyelidikan itu berkata, ketika mana pemaju hartanah terus melancarkan produk hartanah baharu untuk memastikan operasi perniagaan mereka berterusan, bilangan unit tidak terjual yang sedang dalam pembinaan dijangka akan menambahkan lagi tahap inventori hartanah yang sudah siap sepenuhnya.

Dalam aspek permintaan, terdapat pembeli hartanah yang lebih sedikit kerana harga hartanah dianggap kurang berpatutan berbanding pasaran massa terutamanya dengan latar belakang ekonomi yang lemah, tambahnya.

“Sebagai tindak balas, kami menjangka syarikat hartanah meningkatkan usaha pemasaran agresif untuk membantu melupuskan pegangan inventori.

“Bagi menaikkan keuntungan, mereka juga mungkin melupuskan aset tidak strategik seperti menjual petak tanah terpilih,” kata Kenanga Research dalam satu nota hari ini.

Ia menambahkan bahawa terdapat peluang untuk pelabur membeli saham-saham harta terpilih yang bersedia untuk pulih daripada penilaian yang rendah.

Ia berpandangan kerajaan akan terus menggalakkan pemilik kediaman untuk merangsang pasaran hartanah dan ekonomi, dengan berakhirnya kempen pemilikan rumah pada Disember 2019.

Antara inisiatif dalam Belanjawan 2020, kerajaan menurunkan harga hartanah bangunan pencakar langit di kawasan bandar bagi pemilikan asing daripada RM1 juta kepada RM600,000, yang bertujuan meredakan harta tanah tidak terjual. – BERNAMA

Comment

BERI MAKLUM BALAS