SHARE AND LIKE THIS POST

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang menambah baik infrastruktur Sistem e-Lelong untuk memastikan sistem itu berjalan lancar sebelum dilaksanakan secara menyeluruh di 12 Mahkamah Tinggi di Semenanjung Malaysia tahun depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong berkata langkah itu diambil selepas projek perintis dijalankan di empat mahkamah tinggi iaitu Mahkamah Kuantan, Mahkamah Temerloh, Mahkamah Ipoh dan Mahkamah Taiping bermula 2017.

“Mesyuarat Jemaah Menteri pada 30 Mei 2017 bersetuju agar pelaksanaan projek perintis bagi kes-kes lelong awam harta tak alih di mahkamah tinggi dijalankan bermula di Mahkamah Kuantan.

“Melalui projek perintis, memang kita tidak nafi terdapat masalah teknikal sejak ia dimulakan pada 2017. Maka, kerajaan sekarang dalam proses tambah baik agar sistem e-lelong lancar,” katanya dalam sesi Waktu Pertanyaan Menteri pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) berkenaan langkah kerajaan mengatasi kelemahan sistem e-Lelong serta jaminan terhadap pelelong ‘tradisi’ apabila sistem itu dilaksanakan sepenuhnya.

Liew berkata sistem e-Lelong sama sekali tidak akan menjejaskan aktiviti pelelong ‘tradisi’ dengan syarat mereka adalah pelelong yang berdaftar bagi menjalankan kerja-kerja lelongan awam harta tak alih di mahkamah tinggi.

“Kerajaan akan pertimbang cadangan wujudkan sistem secara hibrid. Pelelong ‘tradisi’ tidak akan dikeluarkan dari sistem dan boleh teruskan aktiviti lelongan secara tradisi. Saya jamin ‘periuk nasi’ mereka tidak terjejas,” katanya.

Mengenai kempen bagi memaklumkan aktiviti lelongan menerusi sistem itu kepada orang awam, Liew berkata pihaknya akan bekerjasama dengan mahkamah tinggi bagi memastikan aktiviti lelongan diketahui umum.

“Saya telah maklumkan kepada pihak mahkamah tinggi untuk adakan kempen supaya orang awam tahu apa itu e-Lelong dan tahu bila ada harta dilelong. Pihak kementerian juga terlibat agar orang awam dimaklumkan secara besar-besaran,” katanya.

Sistem e-Lelong merupakan yang pertama di Malaysia dibangunkan bagi mengendalikan lelongan awam secara dalam talian mengikut waktu sebenar yang mampu meningkatkan peluang orang awam memiliki aset tetap khususnya rumah kediaman pada nilai sebenar tanpa manipulasi harga.

– BERNAMA

Comment

BERI MAKLUM BALAS