SHARE AND LIKE THIS POST

ISKANDAR PUTERI: Langkah kerajaan negeri menurunkan harga minimum pembelian hartanah oleh warga asing daripada RM1 juta kepada RM600,000 tidak akan memberi kesan kepada pembeli tempatan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Komunikasi dan Multimedia negeri Dzulkefly Ahmad berkata, ini kerana hartanah yang ditetapkan untuk pembelian itu hanya membabitkan hartanah jenis berstrata yang dalam kategori sudah siap dan mempunyai Sijil Perakuan Penyiapan dan Pematuhan (CCC) melebihi tempoh sembilan bulan.

โ€œKemungkinan juga (CCC) lebih lama dari tempoh itu jika penjualan dibuat oleh pemaju semasa dalam peringkat pembinaan lagi. Maknanya hartanah ini ditawarkan dalam satu jangka masa yang lama tetapi tidak ada permintaan daripada pembeli tempatan. Jadi di sini tidak berlaku persaingan seperti mana diperkatakan,โ€ katanya pada Persidangan Dewan Negeri Johor yang ke 14, di sini, semalam.

Dzulkefly berkata, demikian sebagai menjawab soalan daripada Tan Hong Pin (PH-Skudai) yang ingin tahu berhubung kesan daripada polisi terbaharu kerajaan negeri yang menurunkan harga pembelian hartanah oleh warga asing di negeri ini.

Langkah itu diumumkan Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal ketika sesi pembentangan Belanjawan Johor 2020 Khamis lalu, sebagai langkah mengatasi lambakan rumah di negeri itu.

Terdahulu, menjawab soalan asal daripada K Raven Kumar (BN-Tenggaroh) berhubung tindakan untuk mengurangkan jumlah hartanah tidak terjual di negeri Johor terutama di kawasan Johor Bahru, Dzulkefly memberitahu ia adalah satu daripada dua inisiatif baharu yang diumumkan untuk dilaksanakan.

Bagaimanapun, katanya, ia tertakluk kepada syarat-syarat ketat, antaranya berkuat kuasa dari 1 Januari 2020 hingga 30 September 2020.

โ€œIni bermakna selepas tamat tempoh kempen ini iaitu 30 September 2020, maka harga minimum pemilikan kepentingan asing akan kembali kepada polisi yang asal iaitu RM1 juta semula,โ€ katanya.

Inisiatif lain adalah menaikkan kadar levi pemilikan warga asing daripada dua peratus atau RM20,000 yang mana lebih tinggi kepada lima peratus atau RM30,000 yang mana lebih tinggi. – BERNAMA

Comment

BERI MAKLUM BALAS