SHARE AND LIKE THIS POST

PETALING JAYA: Kempen Pemilikan Rumah (HOC) yang dilancarkan sejak Januari lalu berjaya membantu meningkatkan jualan hartanah apabila sebanyak 19,784 unit dengan nilai RM14.65 bilion kediaman terjual setakat 13 September 2019.

HOC yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sepatutnya berakhir pada Jun lalu, namun dilanjutkan sehingga Disember bagi membuka lebih ruang agar ramai pembeli memiliki kediaman sendiri, sekali gus membantu industri perumahan negara kembali berada dalam landasan sebenar.

Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Datuk Ir Soam Heng Choon, berkata jumlah itu melepasi sasaran asal jualan RM3 bilion yang ditetapkan bagi kempen bermula dari Januari hingga Jun.

Heng Choon berkata, kediaman yang berharga dari RM500,000 hingga RM750,000 mencatatkan penjualan tertinggi iaitu sebanyak 7,704 unit diikuti RM300,000 hingga RM500,000 (4,967 unit).

“Manakala, rumah jenis apartmen servis menjadi pilihan pembeli iaitu sebanyak 7,080 unit terutama di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

“Kami yakin jumlah jualan hartanah ini akan terus meningkat terutama selepas lanjutan HOC,” katanya selepas taklimat media Kaji Selidik Industri Hartanah Separuh Pertama 2019 serta Tinjauan Pasaran Separuh Kedua 2019 dan Separuh Pertama 2020 di sini, hari ini.

Tinjauan industri hartanah itu dijalankan ke atas 144 ahli REHDA di seluruh Semenanjung Malaysia dan berdasarkan tinjauan, sebanyak 15 peratus pemaju mencatatkan peningkatan dari segi jualan.

Heng Choon berkata, 52 peratus responden merancang untuk melancarkan 18,373 unit hartanah pada separuh kedua 2019, terdiri daripada 11,560 unit strata, 6,813 unit bertanah dan 153 unit komersial.

Beliau berkata, 54 peratus responden menjangkakan prestasi jualan mereka 50 peratus lebih rendah dalam tempoh enam bulan pertama.

Katanya, prestasi jualan hartanah pada separuh pertama 2019 turut menyaksikan peningkatan sebanyak 58 peratus berbanding 43 peratus yang direkodkan pada separuh kedua 2018, dengan sebahagian besar hartanah yang terjual adalah unit kediaman.

“Kebanyakan unit rumah teres dua dan tiga tingkat yang terjual adalah di Bandar Sri Sendayan, Negeri Sembilan dan Durian Tunggal, Melaka manakala apartmen servis pula di sekitar Wangsa Maju dan Petaling Jaya,” katanya.

Ketika ditanya mengenai saranan beberapa pihak mengenai tawaran pemilikan hartanah kepada pembeli luar, Heng Choon berkata perkara itu dilihat mampu mengatasi hartanah yang tidak terjual.

Beliau berkata, penjualan hartanah itu perlu dijalankan berdasarkan lokasi dan harga hartanah terbabit dan ia perlu membabitkan hartanah yang dijual pada harga melebihi RM1 juta.

Comment

BERI MAKLUM BALAS