SHARE AND LIKE THIS POST

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan beberapa inisiatif seperti Kempen Pemilikan Rumah (HOC), pengecualian duti setem dan semakan semula Bank Negara Malaysia (BNM) terhadap Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada tiga peratus membantu kepada sentimen pembelian hartanah lebih baik pada suku kedua 2019.

Pengurus Negara, PropertyGuru Malaysia, Sheldon Fernandez, berkata walaupun Indeks Pasaran PropertyGuru menunjukkan penurunan tahunan, arus jangka pendek menunjukkan kenaikan 0.8 peratus daripada 85.4 pada suku pertama kepada 86.2 pada suku 2019.

“Inisiatif berkenaan turut menyumbang kepada peningkatan harga permintaan di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Selangor.

“Bagaimanapun, ia tidak mencukupi untuk mengatasi tekanan penurunan di Johor, termasuk larangan penjualan hartanah kepada orang asing yang dicadangkan untuk projek terpilih pada suku 2018,” katanya dalam satu kenyataan.

Indeks Pasaran PropertyGuru adalah agregat sentimen penjual, dilengkapi dengan pandangan mengenai jumlah bekalan di pasaran, berdasarkan 450,000 senarai hartanah kediaman di PropertyGuru.com.my.

Indeks berkenaan mencerminkan arus harga terkini, yang dibandingkan dengan tempoh rujukan pada suku pertama 2015.

Sheldon berkata, hartanah kediaman di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Selangor dan Johor menyumbang 75 peratus daripada semua pinjaman perumahan yang baru dimohon.

“Terdapat permintaan yang sihat untuk perumahan mampu milik, namun pembiayaan perumahan masih menjadi cabaran bagi ramai rakyat Malaysia.

“Oleh itu, PropertyGuru telah menjadi relevan untuk membantu memberikan ketelusan dalam pembiayaan hartanah menerusi penyelesaian Home Loan Pre-Approval,” katanya.

Pengarah Eksekutif Jones Lang Wootton, Prem Kumar, berkata pemacu ekonomi utama bagi pasaran hartanah seperti bekalan dan permintaan, tidak menggambarkan yang ia telah mencapai keseimbangan yang jelas.

“Masih ada jurang yang ketara dan yang perlu diperbaiki sebelum arah pemasaran lebih jelas boleh dicapai,” katanya.

Beliau berkata, pemaju hartanah telah mengambil perhatian, terutama dari segi permintaan pasaran dan kesedaran terhadap perubahan dalam dinamik pasaran.

“Ini akan menjadi teras utama untuk maju ke arah penstabilan lebih berkesan bagi pasaran hartanah kediaman,” katanya.

Jumlah hartanah tidak terjual di Malaysia mencecah 53,078 unit pada suku pertama 2019, termasuk 32,936 unit kediaman bernilai RM19.9 bilion.

Comment

BERI MAKLUM BALAS