SHARE AND LIKE THIS POST

SHAH ALAM: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menyasarkan jualan RM60 juta sepanjang penganjuran ekspo Koleksi Hartanah PKNS siri kedua tahun 2019 yang bermula Jumaat lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd Azizi Mohd Zain, sasaran itu adalah lebih tinggi berbanding siri pertama yang diadakan pada bulan Mac lalu yang hanya berjaya mencatat jualan sebanyak RM10 juta.

Katanya, untuk siri kedua ini, PKNS yakin sasaran itu mampu dicapai bersandarkan tawaran menarik diberi kepada bakal pembeli termasuk rebat dan diskaun khas.

“Menariknya pada ekspo kali ini, kami menawarkan diskaun tambahan sebanyak RM5,500 kepada 55 pembeli terawal sempena ulang tahun PKNS ke-55 pada 1 Ogos ini.

“Bukan itu saja, rebat sehingga 20 peratus turut ditawarkan kepada pembeli selain percuma kos guaman perjanjian jual beli (SPA) dan duti setem memorandum pertukaran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran ekspo itu di sini.

Ekspo selama 10 hari itu menawarkan kira-kira 2,500 unit kediaman milik PKNS dan anak syarikatnya dengan harga bermula dari RM200,000 seunit sehingga RM3 juta seunit bergantung kepada jenis, saiz dan lokasi hartanah.

Mengulas lanjut Mohd Azizi berkata, PKNS juga memeterai kerjasama dengan Maybank Bhd dalam pelaksanaan Skim Smart Selangor First Home Buyer.

“Skim yang diilhamkan oleh kerajaan negeri Selangor ini adalah skim bantuan pinjaman untuk memudahkan rakyat Selangor, yang mana pihak Maybank akan menyediakan pembiayaan sebanyak 90 peratus, manakala kerajaan negeri akan memberi bantuan pembiayaan sebanyak 10 peratus dengan PKNS dilantik sebagai agensi pelaksana skim ini.

“Skim ini adalah insentif pembiayaan pinjaman 100 peratus pada kadar faedah rendah untuk lapan tahun pertama. Ini akan memudahkan pembeli untuk mendapatkan pinjaman, seterusnya memiliki rumah idaman mereka.

“Ia terbuka kepada pembeli Rumah Selangorku (RSKU) dibangunkan oleh PKNS dan anak syarikat PKNS yang terletak di Selangor Cyber Valley (SVC), Antara Gapi, Kota Puteri, Klang dan Kampung Sri Temenggung Gombak,” katanya.

Permohonan hanya boleh dibuat di cawangan Maybank Seksyen 14, Shah Alam.

Comment

BERI MAKLUM BALAS