JOHOR BAHRU – UDA Holdings Berhad (UDA) akan melancarkan projek pembangunan bercampur dengan kos jutaan ringgit di Bandar Penawar, Kota Tinggi pada suku pertama tahun depan.
Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zahrin Zakaria berkata, projek itu sudah pun menerima kelulusan pembangunan daripada pihak berkuasa pada akhir bulan lalu.
“Kami yakin dengan pasaran hartanah di tenggara Johor ekoran pembangunan yang berlaku di Desaru dan Pengerang,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran anak syarikat, UDA Land South Sdn. Bhd. di Angsana Johor Bahru Mall di sini hari ini.
Dalam majlis tersebut turut dilancarkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) UDA Cares yang memberi tumpuan kepada empat teras utama iaitu pendidikan, usahawan, pembangunan komuniti dan kesihatan.
Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Dzulkefly Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr. S. Ramakrishnan; Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Pengurusan Aset UDA, Datuk Ahmad Tajuddin Mohamed serta Ahli Lembaga Pengarah UDA Holdings Berhad, Ar. Mohamad Subki Ahmad.
Zahrin berkata, projek itu terletak berhampiran Desaru di atas tapak seluas 40 hektar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM800 juta dan dijangka siap dalam tempoh lima hingga enam tahun.
Beliau berkata, antara komponen dalam projek itu termasuk 135 unit rumah teres satu tingkat di bawah Rumah Mampu Biaya (RMB).
Jelasnya, ini termasuk 350 pangsapuri, 69 rumah dua tingkat dan 28 kedai pejabat.
Menurutnya, projek berkenaan merupakan usahasama pertama antara UDA, Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) dan IR Security.
“Kami mahu memanfaatkan prospek pertumbuhan dan potensi Pengerang dan Desaru,” tambah Zahrin dan syarikat itu akan melihat pembeli pertama serta mereka yang mencari hartanah di Desaru.
Pengerang sedang dibangunkan menjadi hab minyak dan gas baharu di rantau ini dengan projek petrokimia bersepadu bernilai bilion ringgit manakala Desaru sebagai destinasi pelancongan serantau.


