KUALA LUMPUR – Bank seharusnya memberikan akses kepada pembiayaan secara lebih meluas kepada pembeli rumah pertama serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk memacu perkembangan ekonomi.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, tahap kesihatan kewangan isi rumah yang semakin beransur pulih dengan kadar keberhutangan isi rumah berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) jatuh kepada 83 peratus pada 2018 berbanding 83.8 peratus pada 2017.
“Hasil perkembangan ini, pengguna kini mempunyai ruang yang lebih besar untuk meminjam bagi tujuan mengumpul kekayaan sama ada untuk skim simpanan atau untuk pelaburan bukan bertujuan spekulasi termasuk pemilikan aset jangka masa panjang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Guan Eng berkata, secara purata hutang isi rumah bersandarkan jumlah aset yang bersesuaian dan menurut statistik Bank Negara Malaysia (BNM), kadar aset kewangan isi rumah ialah 2.1 kali hutang isi rumah.
Katanya, ini menunjukkan bahawa isi rumah secara purata memiliki lebih banyak aset daripada hutang, yang memberikan mereka penampan yang diperlukan untuk menghadapi sebarang kemungkinan pembiayaan.
“Namun, kerajaan menyedari bahawa isi rumah berpendapatan rendah mudah terjejas apabila mengalami kejutan dan benar-benar memerlukan bantuan untuk meningkatkan kekuatan kewangan mereka.
“Kerajaan telah berjaya melakukan perkara ini dengan menambah baik program pemindahan wang Bantuan Sara Hidup (BSH), memperkenal skim insurans kesihatan awam percuma mySalam, dan menstabilkan harga runcit petrol RON95 dan diesel,” katanya. – BERNAMA