SHARE AND LIKE THIS POST

KUALA LUMPUR: Penyertaan besar sektor swasta untuk membina rumah mampu milik seperti dilaksanakan sebelum ini perlu dihentikan kerana ia mewujudkan model subsidi bersilang yang menyebabkan kumpulan isi rumah berpendapatan menengah (M40) terpaksa menanggung sebahagian besar subsidi, kata penyedia perkhidmatan hartanah terbesar tempatan, CBRE WTW.

Pengarah Urusannya, Foo Gee Jen, berkata disebabkan itu, kerajaan negeri perlu mengambil peranan lebih proaktif dengan menawarkan sumber yang dimiliki, termasuk tanah bagi membolehkan sasaran membina sejuta rumah mampu milik dalam tempoh 10 tahun akan datang dapat direalisasikan.

“Kerajaan perlu memastikan dasar perumahan dilaksanakan dengan betul dan tidak boleh mengharapkan sektor swasta sepenuhnya untuk melaksanakan dasar membina sejuta rumah mampu milik ini.

“Apa yang akan berlaku jika semua pembinaan rumah mampu milik ini diserahkan kepada pihak swasta, akan berlaku lebih banyak subsidi silang membabitkan kumpulan M40.

“Kerajaan tidak boleh hanya memberi tumpuan untuk menggembirakan kumpulan B40 tanpa mengambil kira apa yang akan berlaku kepada M40, jika terlalu banyak subsidi silang berlaku maka kumpulan M40 akan teruk terjejas,” katanya pada taklimat tinjauan hartanah Asia Pasifik 2019, di sini, hari ini.

Gee Jen berkata, kerajaan negeri juga perlu memastikan rumah mampu milik dibina di lokasi yang tepat kerana tidak mahu kes seperti di Bukit Beruntung yang mempunyai lambakan rumah kos rendah dibina, namun tidak mendapat sambutan akan berulang.

“Apa yang berlaku sebelum ini, setiap wakil rakyat mahu menjadi juara dalam kalangan pengundi dengan membina rumah mampu milik di kawasan Parlimen masing-masing, namun malangnya ketiadaan infrastruktur yang lengkap menjadikan rumah dibina tidak mendapat sambutan,” katanya.

Kerajaan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) merancang membina sejuta unit kediaman mampu milik dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin, berkata sebagai permulaan pihaknya akan membina 100,000 unit kediaman setiap tahun dengan mula pembinaan akan bermula tahun ini.

Katanya, berdasarkan perancangan, kesemua unit rumah itu akan merangkumi semua kategori rumah mampu milik termasuk bagi kumpulan berpendapatan 40 peratus terendah (B40) supaya mereka juga memiliki rumah yang sesuai untuk didiami.

Comment

BERI MAKLUM BALAS