SHARE AND LIKE THIS POST

KUALA LUMPUR – Pemaju hartanah digesa menangani secara adil keperluan terhadap perumahan berkualiti bagi kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dan 40 peratus sederhana (M40) seiring usaha menjadikan Malaysia sebagai negara maju serta berpendapatan tinggi.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, pemaju yang mencatatkan keuntungan besar perlu bekerjasama dengan kerajaan untuk memberi tumpuan kepada golongan kurang bernasib baik, selain lebih bertanggungjawab dan sensitif terhadap keperluan perumahan golongan itu.

“Ia bukan satu kebetulan kes jenayah semakin berleluasa di kawasan perumahan kos rendah dan mampu milik.

“Kita perlu menyedari bahawa tekanan dan kekurangan dari segi sosial merupakan penyumbang terbesar kepada masalah itu. Oleh demikian, saya berharap isu-isu ini akan terus diutamakan apabila melaksanakan projek perumahan berkualiti, bukan hanya aspek kuantitinya sahaja,” katanya pada majlis Anugerah Media Hartanah Malaysia (MPPA) 2018 di sini, hari ini.

Raja Kamarul Bahrin juga berkata memandangkan 80 peratus penduduk Malaysia dijangka mendiami kawasan bandar menjelang 2030 (meningkat daripada 75 peratus pada masa kini), kementerian itu berharap Dasar Komuniti Negara yang dilancarkan baru-baru ini akan mengupayakan penduduk agar dapat menguruskan kawasan perumahan masing-masing secara lebih baik.

“Memandangkan ini juga menjadi perhatian semua pihak dalam industri pembangunan hartanah, kita semua perlu memainkan peranan dalam menyumbang ke arah mewujudkan bandar dan perbandaran yang lestari,” katanya.

Penganjuran tahunan MPPA adalah inisiatif oleh penyedia kandungan hartanah, Emjay Communications, Property360Digest dan Forum Perniagaan Global Malaysia. – Bernama

Tawaran Istimewa dari Lazada:

BERI MAKLUM BALAS