SHARE AND LIKE THIS POST

KAMPAR: Berkonsepkan bandar selamat dan komuniti berpagar, Mahkota Kampar adalah antara projek pembangunan perumahan mampu milik yang unik di daerah ini.

Dimajukan pemaju hartanah yang mempunyai pengalaman lebih 40 tahun iaitu Kumpulan Syarikat NCT, Mahkota Kampar merangkumi pembangunan kediaman dan komersial.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Seri Yap Ngan Choy, berkata pembangunan perumahan itu adalah antara projek terbaru pihaknya yang akan menjadi batu loncatan dalam bidang hartanah.

“Mahkota Kampar adalah antara projek pembangunan kebanggaan kami merangkumi pembangunan kediaman dan komersial yang akan dikelilingi landskap unik dan pelbagai kemudahan termasuk untuk beriadah seperti laluan basikal dan pejalan kaki serta lain-lain lagi.

“Projek ini terletak kira-kira 5 kilometer dari bandar Kampar dengan keluasan 13.8 hektar membabitkan 352 unit rumah setingkat dan 24 unit rumah kedai dua tingkat,” katanya dalam ucapan pada majlis pecah tanah Mahkota Kampar yang dirasmikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di sini hari ini.

Ngan Choy berkata, projek pembangunan itu diiktiraf sebagai bandar selamat oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dan dengan dasar kerajaan negeri yang mementingkan pembinaan rumah mampu milik untuk rakyat, pihaknya dapat turut sama membantu menyediakan rumah berkenaan.

“Dengan dasar kerajaan negeri ini, kami dapat membantu komuniti dengan membina rumah mampu milik yang selesa, tenang dengan persekitaran semulajadi serta selamat.

“Ini (Mahkota Kampar) pastinya satu daripada pembangunan bandar yang unik di sini,” katanya.

Menurutnya, projek berkenaan yang pembinaannya dimulakan Oktober lalu membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM90 juta dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun.

“Setakat ini sudah 20 peratus unit terjual dengan harga antara RM173,000 hingga RM253,000 seunit dan kami menyasarkan sebanyak 50 peratus unit akan terjual hingga Disember ini,” katanya.

Comment

BERI MAKLUM BALAS