SHARE AND LIKE THIS POST

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan menetapkan pemilikan tanah dan aset oleh warga asing di negeri ini mesti melebihi nilaian RM2 juta, berkuat kuasa hari ini.

Menteri Besar, Aminuddin Harun, berkata dasar baharu itu dipersetujui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bertujuan mengawal pemilikan tanah dalam kalangan warga asing.

Katanya, bagi kawasan Seremban, Port Dickson dan Jempol, kadar minimum yang dibolehkan adalah RM2 juta manakala lain-lain kawasan, RM1 juta.

“Kita sedar ada rumah dijual antara RM300,000 hingga RM500,000. Ia memudahkan warga asing untuk membelinya, ditambah pula dengan nilai mata wang negara ini yang rendah,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri, di sini, hari ini.

Aminuddin berkata, penetapan oleh kerajaan negeri itu bukan bertujuan menghalang warga asing membeli aset, sebaliknya mengawal pemilikan tanah oleh mereka.

“Warga asing hanya dibenarkan membeli tanah secara pajakan bukannya free hold (pemilikan tetap),” katanya.

Sebelum ini, Jabatan Perdana Menteri (JPM) menjelaskan bahawa warga asing dibenarkan memiliki hartanah di Malaysia, asalkan syarat tertentu dipenuhi.

JPM menyatakan orang asing boleh memilih untuk menjadikan Malaysia sebagai tempat mastautin tetap menerusi program Malaysia My Second Home (MM2H).

Kenyataan itu bagaimanapun menjelaskan bahawa pembelian hartanah itu tidak secara automatik menjamin mastautin di negara ini.

Tawaran Istimewa dari Lazada:

BERI MAKLUM BALAS