SHARE AND LIKE THIS POST
Pengerusi Kumpulan TH Properties, Datuk Azizan Abd Rahman.

NILAI: Pemaju Bandar Enstek di sini, TH Properties Sdn Bhd (THP), akan mengurangkan pembinaan rumah jenis berkembar serta banglo untuk memberi tumpuan kepada rumah mampu milik berharga bawah RM500,000.

Pengerusi Kumpulan THP, Datuk Azizan Abd Rahman, berkata walaupun perancangan asal mahu mempelbagaikan jenis rumah, ia perlu diubah berikutan pasaran hartanah yang sedikit lembab kebelakangan ini.

Katanya, ketika ini pihaknya menerima sambutan lebih baik daripada kalangan pembeli rumah teres dua tingkat bernilai di bawah RM500,000.

“Bagaimanapun permintaan hartanah kediaman di sini masih memberangsangkan dan kita juga akan menambah kemudahan di kawasan ini untuk faedah dan manfaat kira-kira 12,000 penduduk,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri THP di Pusat Komuniti Islam Bandar Enstek, di sini, hari ini.

Lebih 2,000 orang hadir memeriahkan sambutan berkenaan termasuk pertubuhan anak yatim dari Taman Nusari Bayu dan Sendayan.

Azizan berkata, antara kemudahan baharu yang akan diwujudkan di situ ialah pusat tahfiz dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), tempat riadah termasuk rumah kelab yang lengkap dengan kolam renang, trek basikal dan gelanggang tenis.

“Ketika ini THP sedang menyiapkan pembinaan masjid bernilai RM4.2 juta. Saya yakin Bandar Enstek bakal menerima pembangunan lebih pantas kerana terletak dalam lingkungan Lembah Wawasan Malaysia (MVV).

“Malah, lebih 50 peratus daripada keseluruhan 5,000 ekar tanah di kawasan ini sudah dimajukan dan saya pasti projek MVV serta kereta api berkelajuan tinggi (HSR), akan memberi impak positif kepada pembangunan sekitar,” katanya.

Comment

BERI MAKLUM BALAS