RAWANG: Pemaju hartanah, Mah Sing Group Bhd (Mah Sing) melancarkan projek pembangunan perbandaran pertamanya, M Aruna yang menggunakan Sistem Binaan Industri (IBS) sepenuhnya.
Projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM520 juta itu mempunyai tiga fasa pembinaan di atas tapak seluas 39.1 hektar.
Fasa pertamanya, Aster yang merangkumi pembinaan 117 unit rumah teres dua tingkat dengan keluasan 20×60 kini dibuka untuk jualan. Harga jualan bermula dari RM506,000 bergantung kepada keluasan unit yang dipilih.
Ketua Eksekutifnya, Datuk Ho Hon Sang, berkata Mah Sing melaksanakan penggunaan IBS bagi projek ini bertujuan meningkatkan kualiti dan proses pembinaan bagi projek pembangunan berkenaan.
“Kami membuat perancangan teliti sebelum memutuskan penggunaan IBS bagi projek ini. M Aruna adalah projek yang sesuai untuk kami mulakan kerana kami bakal membina ratusan unit rumah di perbandaran ini.
“Pelaksanaan IBS juga adalah semakin diterima oleh pemain industri dan kerajaan juga amat menggalakkan pembinaan menggunakan sistem ini.
“Antara manfaat yang boleh didapati menerusi pelaksanaan IBS termasuklah ia mesra alam dengan mengurangkan penggunaan keluli di tapak pembinaan di samping mengurangkan masa pembinaan dan menjadikan tapak pembinaan lebih bersih,” katanya pada sesi penerangan kepada media mengenai projek berkenaan di sini, hari ini.
M Aruna adalah projek perbandaran ketiga Mah Sing di Rawang selepas M Residence 1 dan M Residence 2 yang menyaksikan semua unit habis dijual.
Mengulas mengenai pelaburan di kawasan berkenaan, Hon Sang berkata pihaknya yakin dengan potensi yang ada di Rawang dan ia mula mendapat perhatian pembeli rumah yang mahukan rumah di atas tanah.
“Dengan pelbagai kemudahan, sambungan dan prasarana yang sentiasa ditambahbaik, Rawang kini mempunyai populasi hampir 200,000 penduduk,” katanya.
Pembinaan bagi fasa 1 M Aruna dijangka siap sepenuhnya pada 2020.


